Budak perempuan cuba dilarikan ketika tunggu van sekolah

Iklan
Foto hiasan

HULU SELANGOR - Seorang kanak-kanak perempuan menempuh detik cemas apabila cuba dilarikan ketika sedang menunggu van sekolah dalam kejadian dekat perumahan di Bukit Beruntung pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, laporan berkaitan kejadian dibuat ibu mangsa kira-kira jam 8.56 malam.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kejadian terbabit berlaku ketika mangsa berumur sembilan tahun berada di bawah blok sebuah flat di sini ketika sedang menunggu van sekolah.

"Siasatan mendapati suspek merupakan lelaki warga tempatan didapati cuba melarikan mangsa.

Iklan

"Mangsa kemudiannya melarikan diri ke kedai berdekatan sebelum menjerit meminta pertolongan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, orang ramai yang berada sekitar lokasi kejadian kemudiannya berjaya menyelamatkan mangsa.

Iklan

"Suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri ketika cuba ditahan orang ramai ketika kejadian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, polis menasihatkan ibu bapa supaya peka terhadap anak-anak dan jangan meninggalkan mereka sendirian.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta segera menghubungi pihak polis di talian 03-60641223," katanya.