Lebih 40,000 sertai RXZ Members 6.0

Iklan
Ahmad Samsuri melambai kepada peserta Himpunan RXZ Members 6.0 di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak di Kuala Nerus pada Sabtu.

KUALA NERUS - Program himpunan motosikal RXZ Members 6.0 yang berlangsung selama dua hari di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak di sini merekodkan penyertaan lebih 40,000 peserta.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi hantaran di laman sosialnya berkata, program yang diadakan pada Jumaat hingga Sabtu lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta seluruh negara.

Iklan
Iklan

Beliau turut merakam rasa syukur kerana dapat meluangkan masa ke himpunan itu dan menyatakan harapan agar lebih banyak program bersifat positif melibatkan peminat motosikal dapat diadakan di Terengganu.

Ahmad Samsuri tiba di Majlis Perasmian Penutup Himpunan RXZ Members 6.0 di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak di Kuala Nerus pada Sabtu.

"Syukur sekali lagi dapat bersama RXZ Members 6.0 pada kali ini dan saya difahamkan penyertaan mencecah lebih daripada 40,000 orang peserta.

Iklan

"Di kesempatan ini, saya juga ingin ucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak masjid yang turut membuka tangan menyambut mereka dengan menawarkan masjid sebagai tempat rehat malah ada yang sediakan makanan untuk mereka.

"Semoga 'riders' sekalian dapat bersama-sama masyarakat seperti program kebajikan dan lebih banyak nilai positif yang dapat kita tonjolkan sekali gus mengoyakkan (melenyapkan) persepsi negatif terhadap para 'riders'," katanya menerusi hantaran malam Sabtu.

Iklan

Dalam pada itu, beliau turut menasihati peserta himpunan itu agar mematuhi peraturan jalan raya sepanjang perjalanan pulang ke destinasi masing-masing.

"Moga pulang dengan selamat, berikan kerjasama kepada pihak penguat kuasa dengan patuhi undang-undang dan jangan tinggal solat," tulisnya.

Sebelum itu, Ahmad Samsuri turut meluangkan masa menghadiri Majlis Perasmian Penutup Himpunan RXZ Members 6.0 pada Sabtu.