Situasi Kedah makin kritikal

Iklan
Pemain KL City FC Jovan Motika (tengah) melepasi beberapa halangan pemain Kedah Darul Aman FC ketika perlawanan Liga Super 2024 antara KL City FC menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Sabtu. Foto Bernama

SITUASI Kedah Darul Aman (KDA) FC mungkin akan menjadi lebih kritikal sekiranya isu tunggakan gaji yang membelenggu kelab tidak dapat diatasi dalam masa terdekat menyaksikan ramai pemain utama mahu angkat kaki daripada kelab itu.

Perkara tersebut diakui pengendali KDA FC, Nafuzi Zain yang mendedahkan pasukan itu sudah kehilangan beberapa pemain utama dan ada lagi pemain yang bakal menyusul jejak rakan-rakan mereka selepas ini.

Iklan
Iklan

Beliau yang terpaksa menurunkan pasukan B-23 ketika dibelasah 0-5 oleh Kuala Lumpur City dalam aksi Liga Super pada Sabtu turut mengharapkan agar isu gaji tersebut dapat diatasi sekali gus memastikan KDA FC kembali bernyawa untuk menghadapi perlawanan akan datang.

Sebelum ini, pemain utama KDA FC telah memboikot sesi latihan dan perlawanan susulan dakwaan tidak dibayar gaji sejak awal tahun ini.

Iklan

"Saya rasa mungkin akan ada lagi pemain keluar, saya tak boleh nak pastikan 100 peratus tetapi mungkin lepas ini ada lagi.

"Saya harap masalah yang kita hadapi ini dapat diselesaikan dan dapat mendaftar pemain baharu menggantikan pemain tersebut dan kita memang memerlukan pemain baharu untuk memperkuatkan pasukan," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Iklan

Menurut Nafuzi, beliau tidak mahu menyalahkan pemain sepenuhnya atas tindakan memboikot latihan yang telah dilakukan selain memahami kesukaran yang dihadapi mereka.

Beliau berkata, perkara paling penting ketika ini adalah memastikan isu gaji tersebut dapat diatasi sepenuhnya selain menyifatkan apa yang berlaku ketika ini merugikan pasukan.

"Saya pernah katakan sebelum ini, satu kelegaan apabila pemain terus berlatih dan bermain, kerana saya memahami dengan keadaan kesukaran dialami para pemain.

"Dari awal bermula (saingan Liga Super musim ini) kita berada dalam keadaan yang bukannya serba lengkap, tetapi pemain tetap bersama mengharungi keadaan itu sehingga sekarang.

"(Apabila situasi semakin sukar) saya pun memberitahu terpulang kepada pemain. Mungkin pemain berada dalam kesusahan dan harap ia akan dapat diatasi agar pemain dan staf dapat bersama kembali selepas ini," katanya.