PRK Mahkota: Isu sijil halal tak jejas gerak kerja BN

Iklan
Syed Hussien menyantuni masyarakat di Gerai MPK, Taman Makmur sempena hari kedua kempen PRK Mahkota pada Ahad.

KLUANG - Isu pensijilan halal yang hangat dibangkitkan ketika ini tidak menjejaskan usaha Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota meraih sokongan pengundi Cina.

Calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah berkata, ini kerana isu berkenaan tidak menjadi kemelut di peringkat tempatan yang boleh memberi kesan terhadap gerak kerja BN untuk mendekati pengundi.

Iklan
Iklan

"Bagi saya soal isu yang berlegar ni masing-masing ada pendapat.

"Tapi di peringkat kawasan, kami tak mempunyai masalah dengan mereka kerana kita tahu perkara ni telah diperincikan oleh peringkat atasan.

Iklan

"Sebagai calon, mendekati pengundi adalah perkara pokok untuk kita teruskan sepanjang kempen kali ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyantuni peniaga di Gerai Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Taman Makmur, di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada isu pensijilan halal memberi kesan kepada kempen BN untuk mendapatkan sokongan kaum Cina di DUN Mahkota.

Iklan

Ia susulan isu mewajibkan sijil halal ke atas premis makanan menjadi tumpuan orang ramai termasuk melibatkan ahli politik termasuk pertikaian antara pemimpin UMNO dan DAP.

Dalam pada itu, Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda UMNO Kluang berkata, pihaknya lebih memberi tumpuan terhadap pendekatan kempen secara bersemuka.

Katanya, masyarakat pengundi lebih memerlukan sentuhan terus berbanding program-program ceramah dalam skala besar.

"Mereka mahu kita dengar apa pandangan peribadi yang mereka harap untuk PRK kali ini," katanya.

Tambah beliau juga, kempen melalui media sosial juga diberi perhatian sewajarnya.

PRK Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada BN dan Perikatan Nasional (PN)

BN mempertaruhkan Syed Hussien, manakala PN diwakili Mohamad Haizan Jaafar, 61.

PRK Mahkota diadakan berikutan berlaku kekosongan luar jangka kerusi tersebut susulan kematian penyandang kerusi DUN Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.