Pembantu tadbir seperti disisihkan bawah SSPA - AUEGCAS

Iklan
Amir Hamzah(dua dari kanan) dalam sidang media di Pejabat AUEGCAS Perak di Ipoh.

IPOH - Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) meminta kerajaan untuk meneliti semula skim perkhidmatan pembantu tadbir di bawah pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Setiausaha Agung AUEGCAS, Amir Hamzah Yakat Ali berkata, pelaksanaan SSPA yang mana gred jawatan dengan kelayakan masuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan ditukarkan ke gred SSPA 1 dilihat seolah-olah telah diturunkan taraf hampir 300,000 pembantu tadbir di seluruh negara.

Iklan
Iklan

"Skim kami gred 19 sepatutnya berubah ke gred yang lebih baik atau tinggi tetapi sekarang gred 11 hingga 18 dijumudkan dan dinaikkan ke gred yang sama tahap sedangkan kami masih ditakuk lama.

"Lebih menyedihkan, kajian dibuat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyiapkan kajian sistem saraan ini yang mana 3,524 pembantu tadbir memberi responden dan mengemukakan 8,499 cadangan, penambahbaikan, syor agar kami berubah kepada skim lebih baik, tidak diterima.

Iklan

"Jadi kami berasa berikutan kajian yang dijalankan tiada kemajuan. Kita harap JPA dapat meneliti balik perkara ini khas untuk pembantu tadbir agar perkara ini ada perubahan," katanya kepada pemberita di Pejabat AUEGCAS Perak di sini pada Ahad.

Menurut beliau, syarat lantikan perkhidmatan pembantu tadbir menggunakan SPM perlu ditukar kepada Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau setaraf.

Iklan

"Kenaikan masuk sejak tahun 50-an daripada Malaysian Certificate of Education (MCE) sampai sekarang masih kekal SPM sedangkan gred-gred lain yang guna kenaikan masuk SPM sudah berubah kepada gred Diploma, STPM dan sebagainya.

"Kita sudah beberapa kali tunggu penambahbaikkan skim ini, apabila kita menyuarakan menerusi kertas kerja penggubalan pihak berkenaan macam tidak nampak.

"Tahap kami adalah pertengahan yang menghubungkan dengan pihak atasan dan bawahan serta menentukan kerja-kerja di peringkat pentadbiran dan kewangan," katanya.

Amir Hamzah berkata, perkara itu juga diharapkan mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu memorandum yang disampaikan di Serdang, Selangor pada Sabtu.

"Penjawat awam diberi tempoh selama 40 hari untuk terima atau tidak SSPA ini.

"Kita menghargai pelarasan gaji tetapi diharapkan skim kami dapat disemak semula agar tidak berlaku kecelaruan hierarki dalam organisasi," katanya.