JHEAIK laksana program kesedaran akidah kepada pengikut GISBH

Iklan
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Abd Ghani

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) pernah menganjurkan program kesedaran akidah kepada pengikut GISB Holdings (GISBH) pada tahun lepas.

Pengarah JHEAIK, Datuk Dr Abd Ghani @Zulkifli Zainuddin berkata, penganjuran Program Kenegaraan Anak Muda itu membabitkan golongan belia GISBH dikenali sebagai Remaja Pembela Ummah Muslimah (RPUM).

Iklan
Iklan

Menurutnya, seramai 50 peserta terdiri daripada belia berumur 18 hingga 40 tahun dibimbing dalam program berkenaan yang diadakan pada 31 Oktober 2023.

"JHEAIK bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), cawangan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman dan Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) Kementerian Belia dan Sukan menganjurkan program tersebut di Kem Wawasan Negara, Kulim,” katanya di sini pada Ahad.

Iklan

Abd Ghani memaklumkan, menerusi program berkenaan, fokus utama adalah untuk memberikan kesedaran kepada remaja dan belia GISBH berkaitan bahaya penyelewengan akidah selain implikasinya kepada keharmonian masyarakat dan keselamatan negara.

"Tiada sesi kaunseling diadakan terhadap kumpulan berkenaan,” jelasnya.

Iklan

Menurutnya, JHEAIK sentiasa melakukan pemantauan terhadap aktiviti kumpulan GISBH dari semasa ke semasa.

"Setakat ini, belum ada serbuan dilakukan terhadap kumpulan tersebut kerana JHEAIK tidak menerima aduan khusus berkaitan salah laku mereka di negeri ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abd Ghani turut mengingatkan orang ramai, khususnya masyarakat Islam di negeri ini untuk melaporkan kepada JHEAIK sekiranya mempunyai maklumat berkaitan salah laku kumpulan GISBH agar tindakan selanjutnya dapat dilakukan.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan, seramai 402 kanak-kanak berjaya diselamatkan hasil serbuan polis ke atas 20 rumah amal dikaitkan GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Dalam serbuan itu, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia satu hingga 17 tahun, selain menahan 171 individu termasuk ustaz yang mengendalikan premis yang diserbu untuk siasatan lanjut.

Ujarnya, PDRM menerima laporan berhubung dakwaan pengabaian kanak-kanak, amang seksual dan perbuatan cabul terhadap kanak-kanak di rumah penjagaan dipercayai milik syarikat itu.