SERDANG - [DIKEMAS KINI] Orang ramai boleh datang ke Laman Padi Zon 5: Agro-Park sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2024) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) bagi melihat jenis padi yang ditanam di negara ini.
Antara jenis padi yang ditanam yang kini dalam proses untuk dikomersialkan untuk kegunaan domestik dan eksport ialah Padi Pulut Siding MR47, Padi Wangi MRQ76 dan Padi MR284.
Pesawah dan juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Langkawi, Hassim Saad berkata, padi pulut kini ditanam secara skala besar di bawah program SMART SBB yang diterajui oleh BERNAS seluas 37 hektar bermula pada Mei lalu di pulau itu yang akan berkembang kepada 540 hektar secara berfasa.
Menurutnya, padi dengan kandungan amilopektin tinggi itu mampu menghasilkan beras berkualiti setanding dengan beras pulut keluaran Thailand.
"Padi pulut ini mengambil masa tempoh sehingga 135 hari sebelum hasilnya boleh dituai,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Sementara itu, bagi padi benih MR284 atau lebih dikenali sebagai ‘Padi Batu’ pula ianya kini sedang mula dikomersialkan oleh Dataran Pusaka Sdn Bhd.
Padi ini akan dikomersialkan semula kerana 1,000 biji padi adalah 28.4 gram lebih berat daripada jenis padi yang lain ada di pasaran.
Selain pameran dan info mengenai padi dan jentera yang digunakan, pengunjung juga boleh merasai pengalaman menampi padi dan mengikuti aktiviti yang dianjurkan.
Malah pengunjung juga boleh menikmati hidangan dan minuman sambil berswafoto di Teringat Padi Café yang berlatarkan sawah padi.
Jadi singgahlah ke Laman Padi hari ini kerana pelbagai aktiviti daidakan antaranya seminar keusahawanan, demonstrasi dan edaran bubur lambuk, sukan rakyat dan persembahan nyanyian buskers.