Tengku Mahkota Kelantan berangkat Majlis Sambutan Maulidur Rasul

Iklan
Tengku Muhammad Fakhry (dua,kanan) tiba di Masjid Jamek Muhammadi sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kelantan

KOTA BHARU - Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kelantan di Masjid Jamek Muhammadi pada Ahad.

Ketibaan baginda kira-kira jam 7.15 malam dan menunaikan solat Maghrib berjemaah bersama lebih 1,000 jemaah yang diimamkan oleh Imam Tua 1 Masjid Jamek Muhammadi, Hairul Azizi Mokhtar.

Iklan
Iklan

Turut mengiringi baginda, Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Hadir sama, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Dr Hasnan Ramli.

Iklan

Selesai solat, baginda berkenan mendengar ceramah khas Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia Zamrie Ibrahim.

Sambutan Maulidur Rasul kemudian disusuli dengan solat Isyak berjemaah, berzanji dan qasidah serta berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Tengku Muhammad Fakhry (tiga,kanan) menunaikan solat Maghrib berjemaah.

Iklan

Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kelantan dimeriahkan dengan perarakan lima buah kenderaan berhias yang disertai oleh masjid bandar dan jajahan terpilih di sekitar daerah Kota Bharu.

Lebih 500 peserta berarak lebih enam kilometer membabitkan laluan dari Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra Kubang Kerian ke Dataran Rehal dan dari Dataran Rehal menuju ke Masjid Jamek Muhammadi.

Felo Akademik di Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM dinobat tokoh ilmuan

Dalam pada itu, Felo Akademik di Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Emeritus Dr Abdul Samat Musa dinobatkan sebagai Tokoh Ilmuan Islam sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kelantan 1446H pada Ahad.

Abdul Samat, 73, menerima anugerah itu daripada Tengku Mahkota Kelantan yang berkenaan mengurniakan sijil penghargaan, plak, dan wang tunai berjumlah RM3,000.

Abdul Samat berkata, pengiktirafan berkenaan merupakan satu penghargaan terhadap usahanya yang hampir 50 tahun dalam bidang akademik dan perundangan.

Bapa kepada enam anak itu memberitahu, anugerah berkenaan juga menggalakkan beliau untuk terus menabur bakti sebagai usaha melahirkan lebih ramai graduan dalam bidang undang-undang dan syariah.

"Terima kasih di atas pengiktirafan ini yang menjadi satu sokongan untuk saya meneruskan tanggungjawab dipikul," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kelantan 1446H di Masjid Jamek Muhammadi.

Tambah beliau, sejak lima dekad lalu, beliau menghasilkan ratusan penulisan dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Arab termasuk buku dan artikel berkaitan untuk rujukan mahasiswa serta pakar akademik.

"Antara penulisan yang memberi kesan kepada masyarakat ialah berkaitan isu kenegaraan dan perlembagaan," katanya.