SEHARI dua ini kecoh di media sosial mengenai isu melibatkan kanak-kanak bawah umur bermula dengan kisah 'Abang Bas' kemudian kes seramai 402 kanak-kanak berjaya diselamatkan dipercayai menjadi mangsa eksploitasi.
Terbaru kisah seorang ibu yang juga pencipta kandungan media sosial berlakon sebagai suami isteri dengan anak lelakinya di TikTok.
Perkara tersebut mendapat perhatian netizen yang menyatakan perkara itu menggelikan dan bagaimana seorang ibu boleh berfikir untuk berbuat demikian semata-mata demi content.
Tidak kurang ada yang meminta agar perkara tersebut mendapat perhatian menteri berkaitan dan pihak polis mengambil tindakan sama seperti kes Abang Bas.
Empunya badan telah pun memuat naik satu video menjelaskan bahawa perkara tersebut hanya lakonan untuk media sosial dan tidak pernah terlintas untuk melakukan perkara tidak baik terhadap anak sendiri.
Merak Jalanan tidak mahu mendahului pihak berkuasa dalam menjatuhkan hukuman tetapi terfikir mengapa tidak hanya buat kisah tentang ibu dan anak atau nenek dengan anak. Mengapa perlu anak itu melakonkan watak suami dan ia dilihat cenderung ke arah seksual.
Sepatutnya perkara seumpama ini dielakkan daripada menjadi satu normalisasi kepada remaja di luar sana yang masih memerlukan bimbingan bagi menilai mana satu perkara betul atau salah.
Selain itu, sebagai orang Islam bukankah sepatutnya perkara yang menjurus kepada fitnah harus dielakkan!
Apatah lagi Merak Jalanan dapati rata-rata netizen sememangnya menyangka watak suami lakonan si anak itu benar-benar pasangannya.
Mungkin langkah terbaik boleh diambil individu berkenaan adalah merujuk kepada individu alim dalam bab agama terlebih dahulu.
Dalam trend ramai menjadikan pengisian di media sosial sebagai sumber pendapatan tetap atau sampingan, perlu difikirkan juga kesan dan akibat daripada setiap tindakan. Jangan nanti menyesal pada kemudian hari.