Teguran halus Agong, obesiti dan NCD

Iklan
Obesiti merupakan situasi yang membimbangkan kerana ia boleh mendatangkan risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti darah tinggi, kencing manis, serangan jantung dan kanser. Gambar hiasan

BARU-BARU ini, tular satu video seorang lelaki gemuk menerima pingat sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara.

Video tersebut memaparkan Agong menyentuh perut lelaki berkenaan dengan jari telunjuk beberapa kali selepas menyampaikan pingat. Tindakan Seri Paduka itu telah mengundang rasa lucu dalam kalangan rakyat khususnya mereka yang menonton video berkenaan.

Iklan
Iklan

Tiada sesiapa menduga perkara seumpama itu boleh berlaku ketika Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2024.

Namun di sebalik adegan berkenaan, rata-rata rakyat berpendapat tindakan Sultan Ibrahim itu merupakan teguran secara halus seorang pemimpin kepada rakyat agar menjaga kesihatan.

Iklan

Peristiwa yang berlaku dalam tempoh beberapa saat itu juga memberi ruang kepada semua rakyat untuk muhasabah diri.

Tindakan Seri Paduka itu hakikatnya tidak ubah seperti kisah Saidina Umar al-Khattab yang menegur sahabatnya kerana berperut buncit.

Iklan

Saidina Umar berkata, perut buncit merupakan azab ALLAH kerana ia menyebabkan seseorang itu malas beribadah. Malah, Khalifah Islam kedua Islam itu turut memberitahu lelaki berkenaan bahawa perut buncit adalah sumber segala penyakit.

Walaupun teguran Saidina Umar dan Sultan Ibrahim itu berlaku dalam era yang berbeza, namun kedua-duanya penting kerana ia menyuruh rakyat menjaga kesihatan.

Teguran Agong itu juga dilihat selaras dengan dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang mendedahkan 54.4 peratus penduduk negara ini mempunyai masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

Obesiti ditafsirkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai masalah kegemukan yang menyebabkan individu mengalami berat badan berlebihan atau pengumpulan lemak dalam badan yang merisikokan kesihatan.

Seseorang itu boleh diklasifikasikan sebagai obesiti apabila merekodkan kadar nilai Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 30 kilogram.

Obesiti merupakan situasi yang membimbangkan kerana ia boleh mendatangkan risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti darah tinggi, kencing manis, serangan jantung dan kanser.

Kesannya, negara terpaksa menanggung beban kewangan yang tinggi setiap tahun bagi merawat NCD. Malah, NCD juga menyebabkan Malaysia berdepan dengan kerugian produktiviti rakyat kerana ketidakhadiran dan kehadiran tidak cukup masa di tempat kerja.

Lebih malang, NCD juga punca kematian penduduk bekerja di Malaysia kerana sebahagian besar tidak mengetahui mereka menghidap penyakit berkenaan.

NHMS 2023 juga mendedahkan, Malaysia membelanjakan hampir RM10 bilion bagi merawat individu yang menghidap NCD, selain negara berdepan kerugian kos tidak langsung sebanyak RM12 bilion dalam bentuk kehilangan produktiviti.

Bebanan tersebut dijangka bertambah dari tahun ke tahun jika kerajaan tidak mengambil langkah sewajarnya untuk membendung punca sebenar masalah ini. Namun, ia tidak akan selesai jika subjek utama kepada pencetus masalah iaitu rakyat tidak memberi kerjasama.

Justeru, rakyat negara ini perlu memandang serius teguran halus Sultan Ibrahim itu. Lakukan beberapa perkara penting bagi mengelakkan diri daripada tergolong dalam kategori obesiti.

Orang ramai boleh meluangkan masa sekurang-kurangnya 30 minit sehari untuk melakukan senaman. Amalkan gaya hidup sihat melalui pengambilan makanan yang seimbang, tidur secukupnya dan berfikiran positif. Tanam azam untuk berhenti merokok atau minum arak.

Paling utama, lakukan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali terutamanya mereka yang berusia 40 tahun ke atas.

Aktiviti berkenaan bukan sahaja menguntungkan rakyat malah ia turut membantu meningkatkan taraf ekonomi dan sosial negara. Malah, beban kewangan untuk merawat NCD juga dapat disalurkan ke tempat lain yang lebih menguntungkan.

* Hafezdzullah Mohd Hassan ialah penyunting Sinar Harian