Tak terkilan tinggalkan gaji lumayan

Iklan
Afiqrul Fattah dan Nur Ain Jazlina menunjukkan roti paung yang dihasilkan di cawangan kedainya di Beserah, Kuantan.

KUANTAN - Keputusan nekad meninggalkan kerjaya bergaji lumayan untuk mengusahakan perniagaan roti paung di daerah ini membuahkan hasil apabila ia terus mendapat sambutan hangat daripada pelanggan.

Afiqrul Fattah Ahmad Iskandar, 24, dan isteri, Nur Ain Jazlina Jaafar, 22, kini mampu tersenyum apabila perniagaan Roti Paung Cikgu yang diusahakan sejak tahun 2022 berkembang maju dengan pembukaan kedai kedua di Beserah di sini pada Jun lalu.

Iklan
Iklan

Roti paung ialah sejenis roti yang popular di Terengganu dan usaha pasangan suami isteri itu mempopularkannya di negeri ini ternyata berbaloi.

Afiqrul Fattah berkata, sebelum ini, dia bekerja sebagai operator kren dengan pendapatan lumayan, namun nekad meninggalkan pekerjaan itu demi minatnya dalam bidang perniagaan.

Iklan

Dia memilih perniagaan roti paung memandangkan makanan itu kurang saingan di negeri ini dan kedai pertama dibuka di Chendor di sini bermodalkan wang simpanan sepenuhnya.

Antara roti paung yang dihasilkan di kedai Roti Paung Cikgu 2 di Beserah, Kuantan.

"Tahun pertama memang mencabar kerana permintaannya agak sendu kerana roti ini kurang dikenali di sini berbeza dengan Terengganu.

Iklan

"Saya tidak mudah patah semangat sebaliknya terus bertahan walaupun ketika itu jualan agak perlahan. Hendak jual 100 biji roti sehari pun susah," katanya ketika ditemui Bisnes Sinar di sini.

Usahawan muda itu berkata, atas sokongan isterinya yang ketika itu masih belajar di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) di sini, dia terus berusaha tanpa mengenal erti penat lelah sehingga roti paung keluarannya mula dikenali dan mendapat permintaan dalam kalangan penduduk di sini.

"Allhamdulillah, sekarang kami mampu mengeluarkan dan menjual sehingga 500 biji roti sehari terutama pada hujung minggu atau hari cuti umum.

"Melihat kepada perkembangan perniagaan yang semakin baik, isteri saya yang menamatkan pengajian tahun lalu memilih untuk fokus membantu memajukan bisnes ini dengan pembukaan kedai kedua, Roti Paung Cikgu 2 di Beserah ini,” ujarnya.

Tambah cawangan

Afiqrul Fattah berkata, setakat ini perniagaannya lebih fokus kepada menjual roti paung sahaja.

"Selain roti paung kosong, kami juga mengeluarkan roti paung berintikan kacang, kaya dan keju yang menggunakan resipi turun temurun dipelajari daripada ibu.

Sementara itu, Nur Ain Jazlina berkata, berdasarkan perkembangan perniagaan mereka yang positif ketika ini, dia dan suami berhasrat untuk membuka lebih banyak cawangan kedai termasuk di pusat-pusat perniagaan yang strategik pada masa akan datang.

Afiqrul Fattah menunjukkan ketuhar industri untuk membakar roti paung yang dihasilkan di kedainya.

Menurutnya, mereka juga berhasrat mempelbagaikan kaedah pemasaran termasuk secara dalam talian dan menggunakan khidmat runner sendiri bagi menghantar tempahan pelanggan.

"Sekarang ini jualan lebih kepada pelanggan walk-in dan tempahan daripada penghantar p-hailling seperti Grab dan sebagainya.

"Selain itu, kami juga akan mempertimbangkan kemungkinan menambah bilangan tenaga pekerja untuk melancarkan operasi sekiranya permintaan terhadap produk roti paung ini terus meningkat.

"Ketika ini saya dan suami dibantu empat pekerja untuk operasi di kedua-dua kedai,” ujarnya.

Tambah Nur Ain Jazlina, tidak terkecuali usaha promosi yang akan dipergiatkan menggunakan lebih banyak platform media sosial selain Facebook dan Tik Tok ketika ini.