SHAH ALAM - Umat Islam perlu menguatkan iltizam dalam menegakkan sunah Nabi Muhammad SAW sepanjang hayat sebagai tanda cinta kepada baginda.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sambutan atau kegembiraan sahaja tidak mencukupi untuk menunjukkan perasaan sayang kepada Rasulullah SAW.
"Tidak cukup kita menunjukkan rasa gembira dengan bercuti, mengadakan perarakan atau perbarisan dan berslogan mencintai Nabi Muhammad SAW.
"Akan tetapi gembirakanlah Rasulullah SAW dengan mengamalkan serta menegakkan segala suruhan dan meninggalkan serta berusaha menghalang segala perkara yang dibenci Rasulullah SAW.
"Semoga kita semua bertambah cinta kepada Rasulullah SAW dan beroleh cinta ALLAH SWT dan Rasul-Nya. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1446 Hijrah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Maulidur Rasul merupakan perayaan yang diadakan umat Islam untuk memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW.
Sambutan berkenaan disambut pada 12 Rabiulawal dalam kalendar Islam iaitu bulan ketiga dalam tahun Hijriah.
Maulidur Rasul adalah waktu yang penuh makna untuk merefleksikan ajaran dan kehidupan Nabi Muhammad SAW serta memperbaharui tekad untuk mengamalkan sunnah baginda dalam kehidupan seharian.