ALOR SETAR -Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyeru agar seluruh umat Islam menjadikan ketabahan dan kecekalan Rasulullah SAW dalam menghadapi pelbagai halangan sebagai inspirasi dalam kehidupan setiap hari terutama ketika menghadapi dugaan dan cabaran dalam urusan seharian.
Sultan Sallehuddin bertitah, kemuncak kepada usaha dakwah Rasulullah SAW adalah dengan terbinanya sebuah Kerajaan Islam menerusi penghijrahan Baginda dan para sahabat ke kota Madinah.
Baginda bertitah, catatan sejarah Islam membuktikan bahawa berkembangnya kota Madinah menjadi sebuah empayar Islam adalah setelah melalui pelbagai cabaran dan dugaan, di samping usaha yang berterusan.
"Sehingga satu kesatuan masyarakat Madinah yang terdiri daripada pelbagai kaum etnik dan agama telah berjaya dibentuk menerusi formula sosial, politik dan ekonomi seperti yang terkandung dalam Piagam Madinah.
"Aristotle berpandangan dan menyatakan,"Great men are not born great, they grow to be great," titah baginda yang dibacakan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah Tahun 2024 di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, di sini, pada Isnin.
"Al-Quran telah menerangkan tentang akhlak Rasulullah yang mulia ini," titah baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah, kesempurnaan akhlak dan peribadi baginda adalah merupakan aturan dari Allah SWT agar baginda layak dijadikan contoh tauladan kepada seluruh ummah.
"Lihatlah semasa Baginda masih kecil, Rasulullah SAW diberi pendedahan untuk menjadi pengembala kambing manakala di usia dewasa, Baginda telah berniaga untuk mendapatkan pendapatan. Pendedahan dan pengalaman yang Baginda peroleh sebelum kerasulan telah mendidik dan menjadikan baginda lebih cekal dan tabah ketika menyebarkan syiar Islam," titah Sultan Sallehuddin.
Sehubungan itu, baginda bertitah perhimpunan seperti ini adalah satu pendekatan yang dapat mengeratkan silaturahim dan ikatan mahabbah di antara kita.
"Selain itu, ia adalah sebagai satu lambang dan tanda kasih sayang kita terhadap Rasulullah SAW," katanya.
Dalam perkembangan sama, Sultan Sallehuddin menyeru rakyat Kedah bersatu hati dan berganding bahu demi membangunkan negeri tercinta ini dengan menjadikan setiap tingkah laku dan akhlak baginda diaplikasikan dalam hidup demi memastikan keharmonian dan kesejahteraan Kedah.
Baginda menyifatkan, tanpa sifat kebersamaan dan perpaduan, maka amat sukarlah membina kekuatan dan perpaduan di kalangan umat Islam khususnya di negeri ini.
"Kata pepatah"bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.” Semoga Allah SWT sentiasa memayungi kehidupan kita dengan keberkatan serta mengurniakan hidayah serta inayah di sepanjang kehidupan kita,"titah baginda lagi.
____________________________________________________________________________________________
Umat Islam diseru bersatu di bawah pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah
KUALA NERUS - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam agar berpegang teguh dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah selaras dengan ajaran Baginda Nabi Muhammad SAW.
Titahnya, penyatuan umat Islam di bawah payung akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan suatu keperluan yang mendesak pada masa kini.
Baginda bertitah, penyatuan di bawah pegangan tersebut penting untuk mengelakkan perpecahan dan perselisihan yang boleh merosakkan perpaduan ummah.
"Ahli Sunnah Wal Jamaah, atau dikenali sebagai Sunni, adalah golongan majoriti dalam dunia Islam yang berpegang teguh kepada ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan difahami oleh para sahabat Baginda.
"Dengan berpegang teguh kepada akidah yang benar dan murni, kita dapat menghadapi segala cabaran dan ancaman yang mendatang," titah baginda sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini, pada Isnin.
Turut berangkat pada majlis itu ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Zainal Abidin.
Menurut Sultan Mizan, di Malaysia, Ahli Sunnah wal Jamaah adalah aliran utama dalam Islam yang dianuti oleh seluruh umat Islam.
"Kerajaan Malaysia, melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta kerajaan negeri di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), memastikan umat Islam berpegang dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
"Dari aspek akidah pegangan tersebut beraliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah, dari aspek syariah bermazhab Syafie dan meraikan mazhab muktabar lain serta dari aspek tasawuf mengikut Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali," titah baginda.
Dalam pada itu, Baginda turut menyeru agar penekanan kepentingan memberi tumpuan terhadap pendidikan agama sejak usia muda bagi membentuk generasi yang berakhlak mulia dan bertanggungjawab.
Jelas Baginda, peranan ibu bapa, sekolah dan institusi masjid dalam mendidik generasi muda adalah amat kritikal terutama dalam pendidikan yang berteraskan nilai-nilai murni dan ajaran Islam yang perlu diberi keutamaan.
Justeru, titah Sultan Mizan, program-program yang memupuk akhlak mulia dan sahsiah terpuji dalam kalangan golongan muda perlu diperkasakan.
"Institusi pendidikan agama harus menyediakan ruang yang mencukupi untuk pembelajaran ilmu-ilmu agama yang komprehensif dan mendalam.
"Masjid dan surau bukan sahaja dijadikan tempat beribadah, tetapi juga pusat pendidikan dan pembentukan akhlak.
"Program-program seperti kelas agama, kuliah maghrib dan kem ibadah harus diperbanyakkan dan diperkuatkan. Sebagai contoh, Program Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) yang telah dilaksanakan di masjid- masjid terpilih di negeri Terengganu menjadi platform terbaik kepada rakyat Terengganu untuk mengikuti pengajian agama secara berstruktur dan tersusun.
"Beta berharap program seperti ini dapat dilaksanakan dengan lebih meluas lagi merangkumi seluruh masjid kerajaan di negeri Terengganu pada masa akan datang," titah baginda lagi.
Sementara itu, Sultan Mizan turut menyeru agar seluruh umat Islam menghayati bulan Rabiul Awal iaitu bulan istimewa dalam kalendar Islam sempena kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
"Kelahiran Baginda membawa rahmat dan cahaya kepada seluruh alam, menjadi titik tolak kepada perubahan besar dalam sejarah manusia dengan penyebaran Islam yang membawa keadilan, kedamaian, dan hidayah.
"Jadikanlah bulan ini sebagai peluang terbaik untuk kita memperbaharui tekad dan usaha dalam mengamalkan sunnah Baginda,"titahnya.