TAPAH - Kerajaan Perak akan berjumpa dengan pengurusan taman tema, Movie Animation Park Studios (MAPS) dalam masa terdekat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perjumpaan itu bagi membincangkan tindakan lanjut berhubung penutupan operasi taman tema berkenaan termasuk bayaran pampasan terhadap pekerja yang diberhentikan.
Menurutnya, setakat ini belum ada sebarang keputusan bila pampasan berkenaan akan mula dibayar kepada pekerja terlibat.
"Saya juga belum dimaklumkan mengenai perkara ini (bayaran pampasan), saya akan jumpa pihak pengurusan dahulu selepas itu saya akan maklumkan atau pengurusan yang akan cakap (keluarkan kenyataan)," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Sebelum ini media melaporkan seramai 265 pekerja berstatus tetap dan kontrak yang diberhentikan serta-merta berikutan penutupan taman tema itu akan diberikan pampasan mengikut garis panduan Akta Pekerja 1955.
MAPS yang dibangunkan dengan kos RM520 juta itu ditutup mulai 28 Januari lalu sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Terdahulu, Ahmad Faizal hadir ke majlis sambutan Tahun Baru Cina peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang di Dewan Komuniti Kampung Baru Tanah Mas, Bidor.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.