Pencemaran bau kimia: Reman pemandu, kelindan lori disambung enam hari lagi

Iklan
Kedua-dua suspek (depan) tiba di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Isnin.

JOHOR BAHRU - Pemandu lori bersama kelindannya yang sebelum ini ditahan polis kerana disyaki membuang bahan kimia di Sungai Linggiu, Kota Tinggi, disambung reman selama enam hari lagi bermula Isnin.

Majistret Nurul Farahah Mohd Suah membenarkan kedua-dua lelaki berusia 23 dan 28 tahun itu disambung reman selepas permohonan dibuat pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di Mahkamah Majistret.

Iklan
Iklan

Sebelum itu, kedua-dua tertuduh tiba di perkarangan mahkamah sekitar jam 9 pagi dengan berpakaian baju lokap berwarna ungu.

Kedua-dua lelaki terbabit sebelum ini ditahan kira-kira jam 11 malam pada Isnin lalu, di sebuah pangsapuri di daerah ini selepas disyaki melakukan pembuangan bahan kimia di Kota Tinggi, 4 September lalu.

Iklan

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dilaporkan berkata, semakan rekod lampau mendapati kedua-duanya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Selain itu, hasil ujian saringan air kencing kedua-duanya negatif dan bebas pengaruh dadah manakala kes disiasat bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Iklan

Awal bulan ini, beberapa kawasan di daerah ini seperti di Kampung Melayu Pandan, Taman Daya, Mount Austin, Taman Istimewa, Johor Jaya, Kempas dan Skudai dikesan berlakunya pencemaran bau kimia.

Selain di Johor Bahru, pencemaran bau kimia itu turut dikesan di Kampung Orang Asli Pasir Intan, Kota Tinggi.

Insiden pencemaran bau itu mendapat perhatian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengarahkan pihak berkuasa mengesan pelakunya dan dihadapkan ke muka pengadilan.