Kubur usia lebih 100 tahun musnah diceroboh

Iklan
Antara batu nisan yang masih tinggal di kawasan Tanah Perkuburan Islam Mukim Pauh Panji di Kota Bharu.

KOTA BHARU - Sebuah kubur lama berusia lebih 100 tahun musnah didakwa selepas diceroboh oleh pihak pemaju perumahan di Kampung Pauh Panji, di sini, dua minggu lalu.

Seorang penduduk, Syed Abu Bakar Syed Jaafar, 58, berkata, lebih mengecewakan kerana batu nisan terdiri batu-batu sungai tercabut dari tempat asal apabila semak di Tanah Perkuburan Islam Mukim Pauh Panji itu dibersihkan oleh pihak berkenaan menggunakan jentolak.

Nisan dari jenis batu sungai yang dikutip selepas tercabut dari kedudukan asal.

Iklan
Iklan

Batu-batu nisan itu pula dibiar berselerak di kawasan seluas 461 meter persegi.

Menurut Syed Abu Bakar, pencerobohan sebenarnya berlaku lebih awal lagi apabila pihak pemaju didakwa membina pagar dawai besi di kawasan tanah kubur terbabit pada tiga tahun lalu.

Syed Abu Bakar (kiri) dan Saidi (kanan) menunjukkan pagar lebih kecil dari keluasan asal Tanah Perkuburan Islam Mukim Pauh Panji.

Iklan

"Bagaimanapun, yang menghairankan apabila pagar yang dibina itu lebih kecil berbanding keluasan asal kawasan tanah kubur terbabit.

Syed Abu Bakar berkata, lebih memburukkan lagi keadaan pencerobohan itu apabila bangsal untuk mandi dan tandas kegunaan buruh asing berada di atas kubur berkenaan.

Iklan

"Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana semua pihak perlu menghormati tanah perkuburan.

"Saya berharap pihak berwajib akan memberikan perhatian dan turun padang untuk menghentikan segera pencerobohan ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Khairat Kematian Kampung Pauh Panji, Saidi Ibrahim,55, berkata, biarpun pemaju bukanlah membina rumah di atas tanah perkuburan terbabit namun tindakan mereka yang menceroboh kawasan itu menyebabkan ketidakselesaan kepada penduduk setempat.

Syed Abu Bakar (tengah) dan Saidi (kanan) menunjukkan peta kawasan Mukim Pauh Panji. Gambar kecil: Kawasan Tanah Perkuburan Islam Mukim Pauh Panji yang ditunjukkan di atas peta.

Selainnya, Saidi memberitahu, lebih 5,000 penduduk di mukim berkenaan juga berhasrat menggunakan semula kubur berkenaan pada masa depan.

"Kubur ini berada di tanah yang diwakafkan oleh penduduk sekian lama dan masih ada waris-waris mereka yang tinggal di kampung ini.

"Penduduk juga mahu menggunakan kembali kubur ini kerana kedudukannya yang lebih dekat dengan rumah penduduk berbanding kubur sedia ada yang digunakan ketika ini,” katanya.

Kata Saidi, perkara terbabit sudah pun dilaporkan kepada pihak berkuasa berkenaan dan meminta supaya dibina pagar mengikut keluasan tanah yang asal.

"Kami mahukan papan tanda dan pagar dibina di kubur ini supaya kawasannya terpelihara dan tidak diceroboh sewenang-wenangnya oleh sesiapa pun,” ujarnya.

Sinar Harian dalam pada itu berusaha mendapatkan maklum balas daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan berkait perkara ini.