Allahyarham Azraai Khor terima Anugerah Khas Maulidur Rasul

Iklan
Rohani (tengah) ditemani anaknya, Nur Azryena (kiri) dan Siti Fairuz (kanan) melihat sijil penghargaan diterima Allahyarham Azraai pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Kedah.

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Bekas jurulatih legenda 'double treble' Kedah, Allahyarham Mohd Azraai Khor Abdullah menerima Anugerah Khas Maulidur Rasul pada Isnin.

Anugerah tersebut bagi menghargai jasa beliau dalam arena bola sepak negara khususnya Kedah.

Iklan
Iklan

Antara sumbangan terbesar Allahyarham termasuklah membantu Kedah menjadi Naib Juara Piala Malaysia 2004, Naib Juara Kumpulan A Liga Perdana 2005, Juara Liga Perdana 2006, Kedah Juara Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia (juara treble 2007 dan 2008) bagi pasukan Kedah.

Pada 2007, Azraai pernah dinobatkan sebagai Anugerah Jurulatih Pilihan bagi 100-plus Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Jurulatih Terbaik 2008.

Iklan

Anugerah Khas itu disampaikan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin mewakili Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah kepada isteri Allahyarham, Rohani Ibrahim, 64, sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah Tahun 2024 di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, di sini, pada Isnin.

Rohani berkata, mereka sekeluarga tidak menyangka Allahyarham suaminya akan menerima penghargaan terbabit.

Iklan

Beliau berkata, dia berterima kasih kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mencadangkan nama suaminya untuk menerima anugerah khas itu.

"Allahyarham seorang yang baik, pergi pada hari baik dan semua orang menghormati arwah.

"Mereka merasakan pemergian arwah satu kehilangan besar dalam bidang bola sepak terutamanya Kedah," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis.

Ismail (tengah) bersama anak, Khairul Rijal (kiri) dan isteri, Embun Md Diah (kanan) bergambar bersama replika cek Tokoh Imam Maulidur Rasul diterimanya pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul.

Menurut Rohani lagi, Allahyarham semasa hayatnya baik dengan semua orang, malah masih setia melayan wartawan walaupun penat.

"Arwah kata bola sepak adalah jiwa raganya. Jadi, dia tidak kisah dan melayan sesiapa sahaja yang datang," katanya.

Menurutnya, kediaman dan kubur arwah masih terus dikunjungi kenalan arwah, pemain, penyokong dan peminat sehingga kini.

"Ada penyokong arwah dari Terengganu, setiap kali turun ke Perlis pasti akan ziarah kubur arwah kemudian ke rumah.

"Saya berterima kasih kepada semua yang terus menyokong arwah dan berterima kasih kerana tetap ingatkan Allahyarham yang telah mengadap Illahi selama tujuh bulan," katanya.

Sebelum itu, Alahyarham telah dianugerahkan dengan sijil penghargaan, hadiah iringan dan replika cek berjumlah RM7,000.

Pada Februari lepas, arena bola sepak tanah air khususnya penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC dikejutkan dengan berita pemergian jurulatih legenda Hijau Kuning itu.

Majlis terbabit turut menyaksikan Imam Masjid An-Nur Pokok Sena, Ismail Jaafar diumumkan sebagai penerima anugerah Tokoh Imam Maulidur Rasul.

Ismail, 84, yang merupakan guru berkata, dia tidak menyangka menerima penghargaan terbabit meskipun aktif berdakwah di dalam dan luar negara bermula 1980 hingga kini.

Beliau berkata, dia menjadi imam di masjid berkenaan sejak tahun 1996 selepas menamatkan perkhidmatan sebagai Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Nerang pada 1994.

Ismail berkata, dia bersyukur atas penghargaan diberikan kepada dirinya bersempena Maulidur Rasul terbabit selain berterima kasih kepada Sultan Kedah dan semua pihak terlibat.

Pada majlis itu, Ismail turut membawa pulang sijil penghargaan, hadiah iringan dan RM7,000.