1,321 pegawai kastam naik pangkat sejak 2023

Iklan
Anis Rizana

SHAH ALAM - Seramai 1,321 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terdiri daripada pelbagai gred dinaikkan pangkat sejak tahun lalu sehingga setakat September ini.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, kenaikan pangkat ini diberikan berdasarkan kepada merit dan kekananan pegawai terlibat.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, ruang dan peluang kenaikan pangkat ini sebagai pengiktirafan atas pencapaian cemerlang kepada pegawai berkenaan terhadap mutu tugas yang dijalankan.

"Pelaksanaan urusan kenaikan pangkat di JKDM berpandukan kepada Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (Urusan Pemangkuan dan Kenaikan Pangkat Dalam Perkhidmatan Awam).

Iklan

"Selain itu, bagi urusan kenaikan pangkat Gred 40 dan ke bawah akan dipengerusikan oleh saya sendiri selaku Ketua Pengarah Kastam dalam Mesyuarat LKPPA JKDM bersama wakil dari Kementerian Kewangan dan JPA," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Katanya, 45 pusingan kerja turut dilaksanakan melibatkan pelbagai gred dan jawatan di peringkat Ibu Pejabat bagi memenuhi keperluan kepakaran dan kemahiran setiap bahagian.

Iklan

"Kitaran kerja ini melibatkan setiap lapisan pegawai daripada Timbalan Ketua Pengarah Kastam sehingga kepada pegawai pelaksana.

"Langkah ini bagi mencapai keseimbangan antara bahagian dan memastikan setiap bahagian memiliki kepakaran yang diperlukan supaya fungsi masing-masing dapat dilaksanakan dengan cemerlang," katanya.

Menurutnya, tindakan ini dilaksanakan sebagai usaha penambahbaikan institusi JKDM selari dengan teras kemampanan di dalam rukun Malaysia Madani.

"Aspek pembangunan modal insan dengan memberi pengiktirafan selain memastikan kecekapan dan mutu kerja merupakan elemen penting bagi meningkatkan motivasi warga JKDM," katanya.