Batu Sumpah Keningau saksi 'bisu' pembentukan Malaysia 61 tahun lalu

Iklan
Batu Sumpah Keningau terletak di Keningau. Gambar kecil dari kiri: Ricky, Jenny

PENAMPANG - Batu Sumpah Keningau yang menjadi saksi bisu pembentukan Malaysia 61 tahun lalu bukan sekadar batu sumpah biasa.

Bagi masyarakat di Sabah, batu sumpah itulah yang menjadi lambang kepercayaan terhadap janji kerajaan sebelum bersetuju bersama menubuhkan Malaysia.

Iklan
Iklan

Tugu yang terletak di Keningau iaitu kira-kira 108 kilometer dari ibu negeri Sabah itu dijaga rapi sebagai bukti sejarah bahawa penduduk di kawasan pedalaman terlibat secara serius dalam pembentukan Malaysia.

Terbinanya batu ini adalah disebabkan perasaan bimbang penduduk peribumi mengenai hak-hak di Sabah pada masa akan datang.

Iklan

Maka tercetuslah usaha untuk mengabdikan perjanjian yang melibatkan tiga perkara sebagai jaminan bahawa rakyat Sabah patut menikmatinya sehingga kini selepas 61 tahun berlalu.

Usaha itu tidak datang bergolek begitu sahaja kalau bukan ada individu yang berani mempertahankan hak peribumi dan manfaatnya diterima masyarakat Sabah hari ini.

Iklan

Menyingkap kembali sejarah, wartawan Sinar Harian bukan saja berpeluang berkunjung ke lokasi Batu Sumpah Keningau ditempatkan ketika ini tetapi juga berjaya menjejaki ahli keluarga Orang Kaya-Kaya (OKK) Sodomon Gunsanad iaitu antara sosok penting yang bertanggungjawab mewujudkan batu sumpah itu ketika pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

Mendiang OKK Sodomon merupakan pemimpin masyarakat Keningau pada masa itu yang begitu menentang pembentukan Malaysia kerana kebimbangannya mengenai beberapa perkara.

Mengambil kira kepentingan masyarakat peribumi Sabah, tiga perjanjian dimeterai dan diukir pada Batu Sumpah Keningau supaya ia menjadi pegangan dalam Malaysia hari ini.

Menurut Ricky @ Roland yang merupakan anak kedua OKK Sodomon, dia ketika itu masih kanak-kanak lagi, namun kisah mengenai pembentukan Malaysia dan Batu Sumpah Keningau diceritakan oleh mendiang ibunya sendiri.

"Saya masih ingat bapa saya OKK Sodomon dipelawa oleh Tunku Abdul Rahman ke Kuala Lumpur kerana mereka menentang pembentukan Malaysia.

"Apa yang kita tahu, kawasan pedalaman termasuk Tambunan, Ranau, Tuaran tidak bersetuju dalam pembentukan Malaysia dan mereka dipanggil ke Kuala Lumpur untuk diberi gambaran mengenai pembangunan selepas Tanah Melayu merdeka.

"Mereka mahu perlihatkan sekiranya Sabah masuk Malaysia maka pembangunan akan dilaksanakan di Sabah," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini baru-baru ini.

Katanya lagi, ada perbincangan dilakukan bersama ketua-ketua daerah pada masa itu selepas sekembalinya mereka dari Kuala Lumpur.

"Sekembalinya dari Kuala Lumpur, mereka lihat agama tidak sama kerana kita pada waktu itu mengamalkan kepercayaan Pagan dan di sana majoriti Islam, adat tidak sama dan ketiga, tanah di sana masa itu diambil alih oleh Felda untuk pembangunan.

"Balik sini, bapa saya tidak setuju dan dia kata kita semua berlainan termasuk keadannya di sini dan masih menentang pembentukan Malaysia.

"Jadi apabila perkara itu didengari oleh Tunku walaupun telah dipelawa dan sebab itu dia arahkan timbalannya iaitu Tun Abdul Razak Hussein datang ke rumah dan pada ketika itu saya berusia sekitar lapan atau sembilan tahun.

"Bayangkan pada tahun sekitar 1962-1963, sebelum dia datang rumah sudah dikelilingi tentera dengan menggunakan kenderaan untuk menghalang kawasan itu.

"Jadi kami tidak boleh keluar daripada bilik tetapi kami tidak tahu apa perbincangan ketika itu," katanya.

Ricky berkata, bapanya mengambil keputusan untuk bersetuju kerana mahu menyelamatkan Sabah daripada dikuasa maka tiga perkara itulah yang dimintanya.

"Di sanalah bermulanya wujud batu sumpah di mana bapa saya ketika itu tidak bersetuju masuk Malaysia tetapi terpaksa bersetuju apabila kurang mendapat sokongan ketika itu.

"Tiga perkara dia minta masuk dalam perjanjian iaitu kebebasan beragama, adat istiadat jangan diganggu dan tanah-tanah dikuasai oleh negeri jangan gunakan Persekutuan kerana kalau tidak nanti ia akan akan diambil alih oleh syarikat.

"Pada masa itu tidak pasti Tun Abdul Razak bersetuju terus atau tidak tetapi selepas beberapa ketika batu sumpah diwujudkan dan idea itu adalah oleh OKK Sodomon dengan persetujuan Tun Abdul Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri pada masa itu," katanya.

Ceritanya lagi, kewujudan batu sumpah itu adalah menerusi campur tangan daripada kerajaan negeri ketika itu.

"Sebab pada masa itu sudah tentulah bapa saya tiada duit jadi terpaksa kerajaan negeri campur tangan dan sebab itu Pegawai Daerah (DO) diarah untuk mencari batu di mana perjanjian akan dicatat.

"Pada masa itu selepas setahun kita memasuki Malaysia baharulah batu sumpah dibuat kerajaan telah tertubuh," jelasnya.

Ditanya bagaimana tercetusnya idea penggunaan batu sebagai 'dokumen' perjanjian, beliau menerangkan pada waktu itu sebarang perjanjian yang dibuat mesti bersumpah dengan menggunakan batu.

"Ini mungkin daripada amalan penganut Pagan juga. Batu diambil dari Sungai Melalap di Sinagang iaitu antara Tenom dan Keningau.

"Jadi batu itu diangkat dari sungai dan diletakkan di kawasan pejabat daerah lama. Kalau tidak silap ada penggunaan beberapa ekor haiwan untuk tujuan ritual yang disempurnakan oleh Bobolian. Majlis peletakan batu sumpah disempurnakan oleh Menteri Buruh ketika itu," katanya.

Sementara itu, Jenny R Sodomon, 52, iaitu cucu kepada OKK Sodomon berkata, sebagai generasi ketiga dalam susur galur keluarga yang terlibat dalam pembentukan Malaysia dia mempunyai harapannya yang tersendiri.

Katanya, generasi baharu terutama di Sabah harus didedahkan mengenai sejarah pembentukan Malaysia dari sudut di Sabah menerusi sistem pendidikan yang ada.

"Harapan saya, kita mahu sejarah pembentukan Malaysia ini termasuk kisah dua beradik Gunsanad dikembalikan dan dimasukkan ke dalam silibus pembelajaran di sekolah rendah atau menengah seperti yang saya pernah lalui dulu ketika berada di Tingkatan Tiga ketika itu.

"Walaupun ada tentangan untuk membentuk Malaysia tetapi kita kena masukkan dalam silibus kerana apa yang kita lihat sekarang selepas 61 tahun generasi kita menyanyikan lagu 31 Ogos tetapi realitinya pada tahun 1963 barulah Malaysia itu wujud.

"Jadi inilah yang perlu kita terapkan dalam generasi anak muda terutama di Sabah, tingkatkan kesedaran dan jangan takut bersuara berdasarkan fakta," katanya.

Menurut pandangan peribadi beliau lagi, Sabah kini begitu jauh ketinggalan di belakang berbanding Semenanjung walaupun Hari Malaysia disambut.

"Sempena Hari Malaysia ini, kita pun sudah masuk dalam Malaysia, kita pun sudah bangga sebagai rakyat Malaysia, kita pegang pasport Malaysia, jadi kita minta kerajaan Persekutuan tunaikan apa yang sudah dijanjikan.

"Kita tidak minta lebih, tidak minta kurang. Inilah pandangan peribadi saya sebagai generasi baharu," katanya.