KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah tidak mahu sebarang ajaran sesat dan menyeleweng daripada ajaran agama Islam sebenar bertapak di Pahang.
Baginda bertitah, semua pihak perlu menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat supaya tindakan sewajarnya boleh diambil bagi membendung penyebarannya.
"Jangan mudah terpengaruh dengan sebarang ajaran yang terpesong dari landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
"Juga janganlah terlalu mendewakan atau taasub dengan mana-mana pemimpin, guru atau abuya, hentikan semua itu," titah baginda ketika menyampaikan titah diraja sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Isnin.
Al-Sultan Abdullah bertitah, sebelum ini baginda dimaklumkan terdapat 34 ajaran sesat di negeri ini.
"Bagaimanapun kebanyakan ajaran itu berjaya dibendung, namun agak terkilan kerana masih terdapat enam lagi yang masih aktif dan dua daripada ajaran itu ada di Pekan.
"Boleh pergi lihat dan siasat sendiri adakah ajaran-ajaran itu baik atau tidak," titah baginda.
Dalam isu itu, Al-Sultan Abdullah meminta pihak polis dan pihak berkuasa agama negeri menjalankan siasatan dan mengambil tindakan supaya masalah itu dapat ditangani dan diselesaikan dengan baik.
Dalam perkembangan berasingan, Al-Sultan Abdullah berhasrat untuk bertemu pengusaha maahad tahfiz, pondok dan madrasah di Pahang dalam usaha memperkasakan institusi pendidikan agama tersebut.
Baginda bertitah, inisiatif tersebut antara langkah dalam memastikan semua institusi itu diurus dan berada dalam keadaan baik.
"Sebagai Sultan Pahang, saya sentiasa mengutamakan usaha untuk perbetulkan institusi ini.
"Usaha ini antara yang dibincang dengan pelbagai pihak khususnya kerajaan negeri kerana saya khuatir ada pondok dan maahad tahfiz di negeri ini perjalanannya tidak begitu sempurna.
"Saya bimbang, bukan keseluruhannya, tetapi ada juga pondok yang amat malu saya nyatakan keadaan dan perjalanannya.
"Walaupun tidak pernah beri arahan tutup mana-mana institusi pendidikan agama di negeri ini, itu tidak bermakna saya tidak mengambil perhatian," titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah, kejayaan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) boleh dijadikan contoh kepada sekolah pondok dan maahad tahfiz lain dalam menambah baik struktur organisasi dan kurikulum.