Berhenti kelirukan rakyat dengan tafsiran selektif - Lih Kang

Iklan
Gambar kecil: Lih Kang

SHAH ALAM - Pas digesa supaya tidak mengelirukan masyarakat dengan tafsiran yang selektif sebaliknya menghayati semangat Hari Malaysia dengan menegakkan perpaduan, keharmonian dan keadilan untuk semua rakyat Malaysia.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chang Lih Kang berkata, ia susulan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang mendakwa parti itu menolak Memorandum Persefahaman (MoU) kerajaan kerana terma perjanjian kononnya menuntut ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) memperakui hak sama rata tanpa mengira agama dan bangsa

Iklan
Iklan

"Kesaksamaan undang-undang tidak bermakna menghapuskan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera, tetapi memastikan bahawa setiap warganegara Malaysia dilindungi serta diberikan hak yang adil dalam semua aspek kehidupan bermasyarakat.

"Prinsip ini merupakan asas kepada kontrak sosial yang juga diiktiraf dalam Perlembagaan. Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan juga termaktub dalam Perlembagaan kebanyakan negara di dunia sebagai kebebasan asasi rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, pertikaian Pas tidak munasabah kerana perkara 8 dalam Perlembagaan Persekutuan terkait kesaksamaan yang sudah ada sekian lama sejak negara mencapai kemerdekaan, termasuklah sewaktu 33 bulan pentadbiran Pas dan PN.

"Jika mengikut logik Pas, adakah mereka mahu meminda Perkara 8 dalam Perlembagaan Persekutuan hanya kerana mereka fobia dengan perkataan kesaksamaan dan kesamarataan?

Iklan

"Menjelang Hari Malaysia, kita wajar menginsafi asas pembentukan negara pada 16 September 1963 berdasarkan kesatuan dan perpaduan antara semua kaum serta wilayah termasuk Sabah dan Sarawak.

"Semangat Hari Malaysia adalah mengenai membina sebuah negara yang inklusif serta bersatu," ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan, pembangkang membuat ketetapan menolak MoU daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada ahli Parlimen PN.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, keputusan tersebut dibuat berasaskan empat sebab utama.

Menurutnya, alasan berkenaan ialah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, bertentangan nilai budaya, moral dan agama, boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.

Hamzah menambah, draf MoU tersebut juga tidak mempunyai satu mekanisme yang jelas dan keadaan ini boleh membuka ruang kepada berlakunya apa-apa pelanggaran, mungkir janji atau ketidakpatuhan secara ex-parte.

Selain itu, ia turut mengandungi perkara-perkara yang dilihat mengongkong kebebasan bersuara ahli Parlimen, sedangkan setiap daripada mereka mempunyai hak dan imuniti untuk bersuara bagi pihak rakyat mengikut Akta 347 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Susulan daripada bantahan itu, Fadhli Shaari mendakwa terma perjanjian yang terkandung dalam draf MoU mengenai Peruntukan Pembangkang dikemukakan kerajaan sebagai sangat bahaya kepada kedudukan Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, keputusan penolakan MoU itu merupakan langkah tepat demi menjamin kedudukan agama Islam dan hak-hak istimewa bumiputera.