Lagi kes tinggalkan kad ATM atas rumput, pesara bank rugi lebih RM1.4 juta

Iklan
Azizi

TAIPING - Seorang pesara bank wanita kerugian lebih RM1.4 juta apabila wang simpanannya lesap selepas terpedaya dengan sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, mangsa berusia 65 tahun itu menerima panggilan daripada suspek pada 11 Ogos lalu yang mendakwa kad banknya terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, panggilan telefon itu kemudiannya disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu

"Rentetan daripada itu, mangsa telah dihubungi oleh beberapa individu lain yang mengaku polis. Mangsa diarahkan untuk membuka tiga akaun bank berbeza untuk tujuan pindahan wang ke akaun sendiri.

Iklan

"Mangsa kemudian diarahkan untuk meninggalkan kad mesin juruwang automatik (ATM) bank miliknya itu yang diisi dalam sampul surat di atas rumput di alamat seperti diarahkan suspek," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Azizi berkata, tujuan arahan itu diberikan adalah supaya suspek dapat mengeluarkan wang dari akaunnya dan berjanji akan mengembalikannya setelah siasatan selesai.

Iklan

"Mangsa ada menerima mesej pengeluaran wang dari akaun bank miliknya dari tarikh 23 Ogos hingga 11 September lalu.

"Setelah membuat semakan, mangsa mendapati wangnya dengan jumlah keseluruhan RM1,440,969.83 telah dikeluarkan dan mengesyaki dirinya telah ditipu," katanya.

Katanya, laporan diterima pada Ahad dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Terdahulu pada Khamis lalu, Sinar Harian melaporkan seorang pesara kerajaan kerugian lebih RM1 juta akibat terpedaya dengan panggilan telefon dibuat individu menyamar pegawai polis dan SKMM.

Mangsa juga diarahkan meninggalkan kad ATM miliknya yang diisi dalam sampul surat di atas rumput di alamat seperti diarahkan suspek selepas didakwa terlibat dengan pengubahan wang haram.