Jambatan Sungai Air Tawar-Hutan Melintang alami kelewatan

Iklan
Rizam (tengah) bersama peserta bergambar semasa Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Program Jiwa Merdeka di IPP Sungai Kajang di sini pada Isnin.

KUALA SELANGOR - Projek pembinaan jambatan Sungai Air Tawar-Hutan Melintang dijangka mengalami kelewatan berikutan masalah rebak yang berlaku di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Dato' Hormat, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, masalah rebak itu berlaku berdekatan projek pembinaan jambatan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Projek ini mungkin akan sedikit lewat kerana memerlukan proses membaik pulih atau membina tapak jeti nelayan baru," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Program Jiwa Merdeka di Institut Pengurusan Peladang (IPP) Sungai Kajang di sini pada Isnin.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak; Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang, Nor Azizah Ahmad; Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, Mohd Yahaya Saari dan Penyelaras DUN Sungai Burung, Maruwan Ahmad.

Iklan

Bagaimanapun, katanya, projek jambatan itu masih berjalan seperti dijadualkan setakat ini dan tiada isu lain timbul di Selangor kecuali hanya melibatkan proses pengambilan tanah di Perak.

Sinar Harian pada 4 Jun lalu melaporkan, jambatan sepanjang 2.8 kilometer (km) itu sudah mencapai tahap 28 peratus dijadualkan siap pada Jun 2026 dengan melibatkan peruntukan RM219 juta.

Iklan

Dalam pada itu, Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar berkata, kerajaan negeri sedang meneliti masalah hakisan tebing parit Masjid Ubudiah Kampung Simpang 4, Bagan Nakhoda Omar bagi memastikan kerja pembaikan dapat dilaksanakan segera.

Kata beliau, perkara itu akan dimaklumkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi tindakan lanjut.

"Masjid itu berada berdekatan pantai dan ia berisiko tinggi berlaku hakisan. Kita meneliti masalah itu dan berharap ia dapat diselesaikan bagi mengelak terus berlarutan," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, Masjid Ubudiah Kampung Simpang 4 Bagan Nakhoda Omar diancam hakisan tebing parit serius sejak 11 tahun lalu.

Keadaan hakisan itu semakin teruk apabila tandas wanita dan dapur masak di masjid itu dipisahkan lima meter sahaja dari tebing parit berkenaan.