Asyraf Wajdi setuju UPSR dikembalikan

Iklan
Asyraf Wajdi

SHAH ALAM - Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) patut dikembalikan kerana dengan adanya sistem penilaian berpusat, keupayaan sebenar pelajar dapat diukur sebelum melangkah ke peringkat menengah.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya bersetuju dengan cadangan tersebut kerana berdasarkan pengalaman, terdapat penurunan drastik dari segi pencapaian Ujian Kemasukan Ke Maktab Rendah Sains Mara (UKKM MRSM) selepas UPSR dimansuhkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau cuba melakukan intervensi dengan mengadakan bengkel khas dan tuisyen percuma kepada pelajar luar bandar serta golongan berpendapatan rendah melalui Yayasan Pelajaran Mara.

"Saya amat setuju UPSR dikembalikan, perlu ada sistem penilaian berpusat dan terselaras agar dapat mengukur keupayaan sebenar pelajar sebelum ke peringkat menengah.

Iklan

"Pengalaman di Mara apabila UPSR dimansuhkan, dapat lihat penurunan drastik pencapaian UKKM terutamanya bagi pelajar luar bandar dan yang berpendapatan rendah.

"Sebab itulah apabila diamanahkan menjadi pengerusi Mara, saya cuba melakukan intervensi bagi memastikan pelajar miskin dan daif luar bandar menjawab UKKM dengan baik serta berjaya masuk ke MRSM," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Pakar Pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Anuar Ahmad tentang kepentingan mengembalikan UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Pada November tahun lalu, Asyraf Wajdi pernah menyuarakan hasrat sama kerana sekiranya tiada sistem penilaian berpusat seperti UPSR, keupayaan dan potensi pelajar sukar untuk dinilai.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan, ujian tersebut tidak akan dikembalikan walaupun ada permintaan daripada ibu bapa yang menjadikannya sebagai penanda aras pencapaian anak masing-masing.

Hal ini kerana menurutnya, tumpuan ketika ini terarah kepada pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 bagi memastikan kualiti pendidikan yang lebih baik pada masa hadapan.

Untuk rekod, peperiksaan bagi murid Tahun Enam tersebut diperkenalkan pada 1998 dan dimansuhkan sekitar April 2021 oleh Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin susulan pandemik Covid-19.