BEKAS penjaga gol sensasi Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kalamullah Al-Hafiz secara rasmi memperkuatkan cabaran Selangor FC bagi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2024/25.
Menurut Selangor FC, Kalamullah yang lebih mesra disapa Kalam memulakan karier bola sepak sebagai pemain skuad pembangunan Felda United selama tiga tahun.
"Dia kemudian berjaya memecah masuk skuad utama pasukan dan bermain dalam satu perlawanan bersama Felda United.
"Namanya kemudiannya dikenali apabila mengalas cabaran PJ City FC bermula dari 2019 dengan membuat 54 penampilan dalam tempoh empat tahun sebelum kelab itu ditutup secara rasmi.
"Beliau kemudian membuat 36 penampilan bersama Kedah Darul Aman FC untuk satu musim bersama mereka,” kata Selangor FC dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebagai rekod, Kalam berjaya mencatat rekod 34 clean sheet dalam kariernya.
Prestasi cemerlangnya pada 2022 juga membantunya dalam penampilan sulung bersama Harimau Malaya ketika menentang Kemboja dalam perlawanan persahabatan pada 9 Disember lalu.
Sementara itu, Kalam berkata, dia akan segera menyesuaikan diri bersama pasukan dalam misi meraih kejayaan bersama Selangor.
"Suasana di sini agak berbeza bagi saya tetapi ia bukan alasan untuk tidak menyesuaikan diri segera dengan pemain lain.
"Harapan saya adalah untuk bermain di peringkat yang lebih tinggi dan mencapai banyak kejayaan bersama pasukan ini,” katanya.
Pada masa sama Kalamullah juga mengharapkan sokongan padu daripada penyokong-penyokong Selangor.
"Saya juga berharap penyokong-penyokong dapat memberi chant-chant semangat kepada pemain-pemain dan memberi sokongan kepada kami kerana dengan cara itu ia dapat meningkatkan motivasi kami,” katanya.