Lakonan haram kerana ada unsur intim, boleh runtuhkan institusi keluarga

Iklan
Antara adegan suami isteri yang dilakonkan oleh pemilik akaun bersama seorang remaja dipercayai anak lelakinya. Gambar kecil: Mohd Sukki

SHAH ALAM - Sebarang bentuk lakonan yang mempunyai unsur intim adalah haram dan berupaya mendatangkan kemudaratan selain menyumbang kepada keruntuhan institusi kekeluargaan di negara ini.

Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, perkara itu perlu dielakkan sama sekali kerana ia melibatkan soal moral dan akhlak apabila peranan anak serta ibu telah bertukar menjadi suami isteri walaupun ia sekadar kandungan media sosial semata-mata.

Iklan
Iklan

"Secara umumnya lakonan itu tidak ada masalah tetapi apabila anak menjadi suami manakala ibu pula menjadi isteri sudah tentu perasaan itu akan bertukar dan mendatangkan mudarat kepada kedua-duanya.

"Kita takut kalau perkara ini menjadi norma masyarakat ia akan membawa kepada perlakuan sumbang mahram. Apa-apa perkara yang boleh membawa kepada perbuatan haram maka perkara itu perlu dielakkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Sebelum ini, pemilik akaun TikTok, Dya Romantika Life menerima kritikan hebat daripada pengguna media sosial ekoran pengisian ibu dan anak dalam watak suami isteri sehingga menimbulkan fitnah.

Susulan itu, pemilik akaun berkenaan telah tampil memberikan penjelasan bahawa kandungan tersebut hanya lakonan semata-mata dan tiada niat untuk membuat sesuatu yang buruk terhadap anak lelakinya.

Iklan

Mengulas lanjut Mohd Sukki berkata, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak menjadi insan berakhlak mulia.

Tambah beliau, perkara yang membawa kepada keburukan dan membuka ruang maksiat perlu dielakkan.

"Saya tidak setuju dengan perkara macam ini kerana ibu bapa perlu mendidik anak dengan betul supaya tidak melakukan perkara yang boleh membawa kepada keburukan.

"Jangan buka ruang yang boleh membawa kepada masalah akhlak,” katanya.