SAINGAN Piala Raja Muda Selangor 2024 menjanjikan saingan lebih sengit apabila buat pertama kali edisi ke-35 mengembangkan sayap ke seluruh Selangor.
Malah Pengarah Teknikal Kejohanan Piala Raja Muda Selangor 2024, Jailani Abdul, percaya kejuaraan pembangunan bakat bawah 12 tahun itu sememangnya menjadi sasaran pasukan sekolah rendah seluruh Selangor.
"Saya merasakan pasukan daripada daerah lain di Selangor memang telah lama menanti menyahut cabaran kejuaraan berprestij yang telah lama berakar di daerah Petaling.
"Kebanyakan pasukan sekolah rendah di Selangor telah bersaing hebat sejak daripada pusingan kelayakan di peringkat Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) seluruh Selangor yang telah berlangsung sekitar Jun dan Julai lalu.
"Sebaik sahaja dimaklumkan kejuaraan ini dibuka penyertaan kepada semua sekolah rendah yang mengambil bahagian dalam kejohanan MSSD, saya dapati jumlah penyertaan pada pusingan kelayakan meningkat.
"Setiap pasukan sekolah bersaing sengit di peringkat daerah lagi untuk merebut kuota pasukan yang layak mengikut daerah. Apa yang pasti pasukan yang mendapat kuota yang diperuntukkan adalah pasukan yang mencapai kedudukan terbaik dalam kejuaraan MSSD,” katanya kepada Sukan Sinar.
Edisi ke-35 menyaksikan sebanyak 32 pasukan dibahagikan kepada lapan kumpulan dengan dua pasukan teratas dalam kumpulan layak ke pusingan 16 terbaik, diikuti suku akhir, separuh akhir dan akhir.
Sebagai rekod aksi pembuka tirai bakal Piala Sumbangsih menemukan Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 20, Shah Alam menentang SK Seri Selangor, Subang Jaya di Stadium Mini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 23, Subang Jaya.
Kejuaraan Piala Raja Muda Selangor terus mendapat penajaan daripada Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad dengan Sinar Harian sebagai media rasmi.
Tambah Jailani lagi, wakil-wakil pasukan yang baru melakukan debut ketika semasa majlis pengundian kejohanan begitu teruja memulakan cabaran.
"Sudah pasti ia satu petanda positif bahawa saingan kali ini akan memberi cabaran besar kepada sekolah daripada daerah Petaling yang telah lama bersaing dalam daerah mereka sahaja.
"Saya juga percaya adalah tidak mustahil kejuaraan edisi ke-35 akan dijulang pasukan luar daerah Petaling,” katanya.
INFO
Piala Raja Muda Selangor 2024
(Bawah 12 Tahun)
KUMPULAN A
SK Seksyen 20, Shah Alam
SK Bukit Beruntung 2, Hulu Selangor
SK Taman Samudera, Gombak
SK Taman Nirwana, Hulu Langat
KUMPULAN B
SK Kampung Jawa 2, Klang
SK Leftenan Adnan, Hulu Langat
SK Seri Selangor, Petaling Perdana
SK Tun Doktor Ismail, Sabak Bernam
KUMPULAN C
SK Jalan 3, Hulu Langat
SK Sri Petaling, Petaling Utama
SK Taman Sungai Besi Indah, Petaling Perdana
SK Kebun Baharu, Kuala Langat
KUMPULAN D
SK Puncak Alam 3, Hulu Langat
SK TUDM Subang, Petaling Perdana
SK Johan Setia, Klang
SK Bandar Baru Selayang 2, Gombak
KUMPULAN E
SK Subang, Petaling Perdana
SK Seri Bahagia, Sabak Bernam
SK Taman Bunga Raya 2, Hulu Selangor
SK Batu Belah, Klang
KUMPULAN F
SK Dusun Tua, Hulu Langat
SK Taman Seroja, Sepang
SK Bukit Kerayong, Kuala Selangor
SRI Al-Huda, Gombak
KUMPULAN G
SK Bandar Baru Sungai Buloh, Gombak
SK Seksyen 6 Kota Damansara, Petaling Perdana
SK Taman Tun Dr Ismail Jaya, Petaling Perdana
SK Bukit Kemuning 2, Klang
KUMPULAN H
SK (1) Petaling Jaya, Petaling Utama
SK Telok Panglima Garang, Kuala Langat
SK Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang
SK Seri Pristana, Kuala Selangor