SEBUT sahaja industri ekonomi gig, pastinya ramai setuju bahawa besarnya pengorbanan pekerja sektor tersebut dalam membantu masyarakat di negara ini.
Ekonomi gig ditakrifkan sebagai sistem pilihan pekerjaan yang berasaskan kontrak jangka pendek atau dilakukan secara bebas menggunakan aplikasi telefon pintar sebagai platform.
Model berkenaan memberikan sumbangan besar kepada negara termasuk dari segi penambahan pendapatan, peluang pekerjaan dan menjana ekonomi terutamanya melibatkan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).
Bagaimanapun, ada sebahagian masyarakat yang mempertikaikan sisi negatif pekerjaan tersebut dari segi hala tuju kerjaya, ketidakstabilan penjanaan pendapatan, perlindungan keselamatan dan manfaat pekerja.
Sudah tentu perkara sama turut bermain di fikiran pekerja gig terutama yang melakukan pekerjaan tersebut sepenuh masa.
Realiti bahawa ekonomi gig menjana pendapatan mudah dan memberi kebebasan kepada pekerja untuk memilih waktu kerja mereka sendiri tidak seindah yang dibayangkan kerana ia mempunyai cabaran tersendiri.
Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM) dalam kenyataan pada minggu lalu mendedahkan, tempoh kerja panjang untuk memperoleh pendapatan yang baik menjadi punca pemandu e-hailing dan p-hailing sering keletihan, kurang tidur dan mengalami tekanan mental kerana sukar mencari masa berkualiti bersama keluarga atau berehat.
Ketua aktivisnya, Jose Rizal sehubungan itu memohon kerajaan supaya melaksanakan penyelesaian jangka panjang dalam usaha memastikan isu kebajikan, tugasan dan kesihatan mental pemandu e-hailing serta p-hailing ini diatasi segera.
Menurutnya, ketika ini punca pendapatan tidak tetap yang bergantung kepada jumlah perjalanan dan penghantaran menjadikan pemandu e-hailing serta p-hailing terpaksa bekerja berjam-jam lamanya.
Ini merupakan satu situasi membimbangkan kerana isu kesihatan mental semakin kritikal di negara ini.
Mungkin ada persepsi bahawa mereka yang bekerja di pejabat sahaja berisiko terdedah kepada tekanan mental kerana berdepan dengan majikan dan rakan sekerja, berbeza dengan persekitaran pekerja gig yang bebas yang tidak terikat dengan majikan dan bekerja mengikut masa mereka sendiri.
Realitinya, pekerja dari mana-mana sektor sekalipun berpotensi mengalami tekanan mental tanpa mengira umur, jantina atau latar belakang, termasuk industri ekonomi gig.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang dikeluarkan pada 16 Mei lalu mendedahkan, seramai sejuta atau 4.6 peratus penduduk Malaysia berusia lebih 15 tahun mengalami kemurungan.
Menurut dapatan utama NHMS 2023, bilangan penduduk yang mengalami kemurungan meningkat dua kali ganda dari 2019 hingga 2023.
Tekanan mental memberi kesan kepada individu termasuk dari segi emosi, kesihatan fizikal, kehidupan seharian, hubungan sosial, kebolehan berfikir dan membuat keputusan.
Lebih membimbangkan lagi tekanan secara berlebihan dapat mendorong kepada kegagalan mengawal emosi, seterusnya mengakibatkan individu itu bertindak agresif sehingga mendatangkan kecederaan terhadap diri sendiri atau orang lain.
Justeru, menangani kos sara hidup dan menaik taraf tahap kualiti kehidupan perlu menjadi keutamaan negara dalam usaha meringankan beban rakyat, sekali gus mengurangkan tekanan emosi kepada ketua keluarga.
Dalam konteks pekerja gig, kerajaan wajar dipertimbangkan manfaat dan faedah sesuai untuk mereka.
Namun, golongan tersebut mungkin akan menerima berita baik daripada kerajaan pada Oktober nanti.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut memaklumkan, rang undang-undang (RUU) berkaitan kebajikan pekerja gig dijangka dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen ke-15, Oktober ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia yang dipengerusikan beliau pada minggu lalu.
Beliau berkata, penggubalan akta itu perlu dibuat berikutan hanya kira-kira 250,000 daripada 1.16 juta pekerja gig di negara ini yang mencarum di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Langkah itu pasti disambut baik oleh masyarakat terutamanya pemandu e-hailing dan p-hailing yang tidak putus-putus memperjuangkan kebajikan untuk kumpulan mereka.
* Mukhriz Mat Husin ialah wartawan meja am Sinar Harian