Hasrat Izzat Shameer ada asasnya

Iklan
Laporan Sukan Sinar pada Ahad. Gambar kecil: Mohd Sadek

KEM boling padang negara telah membuktikan kesediaan untuk dikembalikan semula ke dalam Program Podium berdasarkan pencapaian terkini atlet sukan tersebut.

Malah jelas Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa, pencapaian Izzat Shameer Dzulkeple kini pemain nombor satu dunia lelaki dan Nor Farah Ain Abdullah ranking kedua dunia wanita Siri Boling Padang Dunia (WBS) dijelmakan menerusi keputusan positif dalam setiap kejuaraan disertai kedua-duanya.

Iklan
Iklan

"Sejujurnya, apabila Izzat Shameer Dzulkeple menyatakan hasratnya supaya boling padang dikembalikan semula dalam Program Podium ada asasnya.

"Ini tidak hanya membolehkan atlet boling padang negara mendapat latihan lebih sistematik, tetapi paling penting untuk mereka tampil konsisten meraih lebih banyak keputusan positif bagi mengharumkan nama negara dalam temasya atau kejuaraan pada masa depan.

Iklan

"Jadi kini PLBM (Persekutuan Boling Padang Malaysia) perlu tampilkan perancangan lebih bersistematik untuk sokongan berterusan selepas atlet mereka menyerlah menempatkan diri dalam kedudukan terbaik dunia kepada KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MSN (Majlis Sukan Negara),” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Izzat Shameer sebelum ini menyuarakan harapan supaya sukan itu disenaraikan semula ke dalam Program Podium selepas menempatkan diri di kedudukan nombor satu dunia apabila mengumpul 822 mata mengatasi Stewart Anderson, Scotland (797 mata), Aron Sherriff, Australia (781 mata), Harry Goodwin, England (644 mata), Sheldon Bagrie-Howley, New Zealand (618 mata).

Iklan

Pencapaian Izzat itu juga diikuti atlet boling padang wanita negara, Nor Farah Ain, apabila berada di kedudukan kedua ranking dunia dengan 645 mata mengekori rapat pendahulu, atlet Australia, Kelsey Cottrell (676 mata), yang turut dicabar Tayla Bruce, New Zealand (608 mata), Julie Forrest, Scotland (568 mata), dan Selina Goddard, New Zealand (567 mata).

Izzat Shameer mengungguli ranking nombor satu dunia selepas memenangi pingat emas acara perseorangan lelaki di Kejuaraan Boling Padang Asia, perak perseorangan lelaki dan gangsa beregu campuran bersama Nor Farah Ain di Guernsey.

Nor Farah Ain pula menduduki tempat kedua ranking wanita selepas memenangi pingat emas perseorangan wanita kejuaraan yang berlangsung di Kepulauan Channel.

Sebagai rekod, boling padang sebelum ini berada dalam Program Podium ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, namun dikeluarkan selepas sukan itu tidak dipertandingkan dalam Sukan SEA Kemboja 2023 dan Sukan Asia Hangzhou 2022.