MESKIPUN sudah 30 tahun berada dalam industri dengan pelbagai pencapaian yang dimiliki, ia bukan laluan mudah buat penyanyi bersuara lunak, Datuk Nora Ariffin menggapai impiannya untuk mengadakan konsert sendiri.
Namun tidak pernah berputus asa dan demi merealisasikan impian sendiri bersama arwah suami, Johan Nawawi, Nora bertekad untuk meneruskan perancangan untuk mengadakan konsert solo pertama dalam karier seninya.
Berkat usaha dan dorongan daripada pasukannya, impian Nora, 51, akan terlaksana pada 18 Disember ini di Stage 1 Theare, PJ PAC, One Utama, Petaling Jaya, Selangor, bermula jam 8.30 malam.
Konsert yang berjudul Hanya Satu: Datuk Nora Ariffin (30 Years Journey) ini adalah sempena pembabitan Nora selama 30 tahun dalam industri muzik tanah air.
Nora berkata, dia bersyukur kerana impiannya untuk mengadakan konsert solo akhirnya menjadi kenyataan.
"Walaupun sudah lama berada dalam industri, tidak mudah untuk saya mendapatkan penaja. Pernah satu tahap saya rasa berputus asa untuk meneruskannya.
"Namun, alhamdulillah dengan sokongan pasukan, keluarga dan peminat, saya tekad teruskan perancangan yang memakan masa hampir dua tahun itu,” jelasnya.
Nora berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang akhbar konsert di BSYNCLIVE, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Konsert dibawakan khas oleh syarikat Nora sendiri iaitu Johan Nawawi Sdn Bhd (JNSB) dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Kumpulan MyCreative Ventures.
"Pengurus projek dan penerbit konsert ini, Alita Aris beritahu Kementerian Komunikasi melalui Kumpulan MyCreative Ventures ada membuka program Dana Kandungan Kreatif Persembahan Muzik.
"Jadi, kami cuba untuk sertai program itu dan alhamdulillah dapat, walaupun bukan 100 peratus kos tetapi masih membantu,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai konsert Hanya Satu: Datuk Nora Ariffin (30 Years Journey), Nora berkata, beliau akan menyampaikan 17 lagu popular dan malar segar daripada 18 albumnya.
Antara lagunya ialah Di Persimpangan Dilema, Naluri (Hadirlah Kekasih), Sandiwara, Menyemai Cinta Bersamamu, Renungan Terakhir, Jentayu dan banyak lagi.
"Antara yang istimewa dalam konsert itu ialah segmen khas Tribute to Johan Nawawi sebagai memberi penghormatan buat Allahyarham. Beliau banyak memainkan peranan penting dan tunggak kejayaan saya sebagai penyanyi.
"Konsert ini akan mendapat sentuhan individu berpengalaman dalam industri muzik tanah air iaitu Jennifer Thompson yang akan bertindak sebagai Pengarah Persembahan dan Aubrey Suwito sebagai Pengarah Muzik,” kongsinya.
Harga tiket konsert bermula dari RM108 (Interlude), RM158 (Sandiwara), RM218 (Debaran), RM288 (Naluri), RM318 (Samudera), RM418 (Jentayu) dan RM518 (Kirana) untuk VIP dan Sessi Meet & Greet akan mula dijual hari ini melalui www.onetix.com.my.