JEMPOL - Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kejadian di kilometer 28 Jalan Bahau - Keratong pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian pada jam 12.30 tengah malam itu melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha 125 ditunggang lelaki berusia 20 tahun dengan SUV Mazda CX-5 dipandu lelaki berusia 29 tahun bersama isterinya, 31 tahun.
"Ketika kejadian pasangan suami isteri itu dari arah Rompin menuju ke Kuala Lumpur.
"Sebaik tiba di lokasi datang sebuah motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan dipercayai telah gagal mengawal kenderaannya.
"Akibatnya, motosikal berkenaan terjatuh ke laluan SUV menyebabkan pemandu SUV itu tidak sempat mengelak dan terlanggar penunggang motosikal," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Chang Hook berkata, berikutan itu mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Jempol untuk proses bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi Inspektor Muhammad Fasha Mohd Faisal di talian 016-3627746," katanya.