KUALA LUMPUR - Pengalaman memegang status 'muflis' atau bankrap selama hampir tujuh tahun telah mematangkan personaliti televisyen ini, membuatkan beliau tidak mudah menaruh kepercayaan, walaupun terhadap ahli keluarga sendiri atau teman rapat.
Bagi Irin Putri Azmi, 41, walaupun kini beliau sudah bebas daripada belenggu 'penjara' tersebut, namun segala derita yang diharungi dan liku-liku kehidupan yang diibaratkannya seperti tahanan akibat tindakan individu yang amat dipercayainya, masih tersemat dalam ingatannya hingga hari ini.
"Ketika itu, saya masih muda dan naif. Saya telah membenarkan individu yang saya percayai untuk menggunakan nama saya bagi satu pinjaman bank untuk perniagaan mereka, sedangkan saya tidak terlibat dalam urusan tersebut.
"Saya juga tidak pasti sama ada dokumen pinjaman yang saya tandatangani itu sebagai penama atau penjamin. Niat hanya untuk membantu dan saya langsung tidak mengambil peduli tentang butiran dokumen yang ditandatangani,” kata penerbit eksekutif dan pengacara TV3 ini kepada Bernama.
Wanita ini hanya mengetahui bahawa pemilik perniagaan itu tidak dapat membayar balik pinjaman tersebut apabila menerima surat daripada peguam yang mengandungi notis kebankrapan atas namanya, serta tawaran perkhidmatan untuk membantu Irin Putri
Walaupun marah dan kecewa dengan situasi yang berlaku, kesengsaraan Irin Putri berakhir apabila beliau, melalui video yang dimuat naik di Instagram baru-baru ini, menzahirkan kesyukuran setelah menerima surat daripada Jabatan Insolvensi Negeri Selangor bulan lepas. Surat tersebut mengesahkan bahawa beliau kini 'bebas' daripada belenggu bankrap yang merantainya sejak 2017.
Menerusi hantaran itu, wanita ini turut bersyukur kerana pindaan Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) yang dikuatkuasakan pada 6 Okt tahun lepas, telah memberi sinar baharu buatnya untuk keluar daripada sisi gelap tersebut.
Sebagai seorang bankrap, saya bertanggungjawab untuk membuat bayaran ansuran bulanan kepada pihak Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) bagi melunaskan hutang tersebut. Jika mengikut perasaan, saya sememangnya tidak mahu membayarnya kerana ia bukan hutang saya
"Namun, memikirkan antara kriteria diambil kira untuk pelepasan bankrap ialah bayaran ansuran yang konsisten, maka saya tidak pernah culas membuat bayaran dan patuh semua arahan.
"Setelah hampir tujuh tahun muflis, saya menerima surat pelepasan automatik daripada Mdl pada bulan lepas kerana memenuhi kriteria ditetapkan. Ini juga selepas kerajaan luluskan pindaan akta insolvensi,” katanya.
Sepanjang memegang status bankrap, wanita ini berkata, MdI banyak membantunya meneruskan kehidupan seperti sebelumnya apabila dapat bekerja seperti biasa, membuka semula akaun bank bagi kemasukan gaji selain dapat ke luar negara atas urusan kerja setelah mengemukakan permohonan.
Berdasarkan pengalaman tersebut, Irin Putri yang juga seorang pencipta kandungan, tidak mahu melihat perkara yang sama berlaku kepada orang lain, terutama golongan muda. Ini kerana kesan masalah kewangan bukan sahaja mempengaruhi kewangan tetapi juga emosi dan kehidupan seharian.
Ini kerana, sebaik seseorang itu dijatuhkan muflis atau dibankrapkan melalui mahkamah, kehidupan mereka tidak akan sama lagi seperti sebelumnya disebabkan akaun bank disekat, kereta ditarik bank serta tidak dibenarkan perjalanan ke luar negara.
Disebabkan itu, beliau mengingatkan golongan muda terutamanya wanita supaya lebih cakna perihal kewangan dan hak serta tidak mudah menjadi penjamin atau menandatangani sebarang dokumen biarpun dengan ahli keluarga atau pasangan sendiri.
"Adakalanya orang muda terutama wanita ambil ringan perihal kewangan kerana bergantung harap pasangan untuk menjaga segala keperluan.
"Ada juga yang sanggup buat apa sahaja demi membantu pasangan atau ahli keluarga tanpa berfikir panjang mengenai risiko yang mungkin dihadapi.
"Usah jadi terlalu ‘helpless’ - wanita perlu juga ambil tahu apa ‘bantuan’ yang dihulurkan itu terutama apabila membabitkan pinjaman sejumlah wang yang banyak,” katanya yang turut mengingatkan orang ramai supaya hidup mengikut kemampuan dan tidak mengejar trend. - Bernama