'Kesungguhan Pas tutup premis judi hanya mainan politik'

Iklan
Muhammad Faiz

SHAH ALAM - Tindakan Pas membangkitkan kesungguhan untuk menutup premis perjudian termasuk kasino terbesar besar Asia Tenggara di Genting Highlands sekiranya parti itu berjaya menawan Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) didakwa hanya mainan politik.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, ketika parti berkenaan dan gabungannya menjadi kerajaan sebelum ini tiada sebarang usaha seumpama itu diambil.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sememangnya diakui judi haram di sisi agama dan atas sebab itu kerajaan mengharamkan semua bentuk perjudian ke atas orang Islam, tetapi Pas juga dilihat lupa bahawa aktiviti tidak sihat berkenaan bukan faktor tunggal berlakunya gejala jenayah dan penyakit sosial.

"Pas hanya menggunakan judi sebagai alat politik untuk menunjukkan parti itu berjuang Islam, sedangkan jenayah lain terus berleluasa di negeri tadbir Pas atau SG4 tanpa perkara ini dibangkitkan di dalam Muktamar Pas.

Iklan

"Persoalannya, adakah jenayah lain bukan kesalahan syarie berbanding judi?

Ironinya, negeri tadbir Pas iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis atau SG4 adalah antara yang tercorot dalam konteks banduan sabitan, kes jenayah, keganasan rumah tangga dan tangkapan kes dadah.

Iklan

"Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kes jenayah keseluruhan di Kedah melonjak lebih 22 peratus dan di Kelantan hampir 10 peratus.

Dalam konteks jenayah kekerasan seperti bunuh, rogol, samun dan sebagainya Kedah mendahului carta," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Kepimpinan Pas ketika Muktamar ke-70 di Kompleks Al-Makmur, di Kerdau, Temerloh yang berakhir Ahad lalu menyatakan komitmen untuk menutup premis perjudian termasuk kasino terbesar besar Asia Tenggara di Genting Highlands sekiranya parti itu berjaya menawan Pahang pada PRU16.

Bagaimanapun Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu berkata, perkara itu perlu merujuk kepada lunas undang-undang dan bidang kuasa kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, data juga menunjukkan bilangan banduan sabitan bagi 2022 berbanding populasi menunjukkan empat daripada lima negeri teratas adalah di bawah pimpinan Pas.

Selain itu katanya, Terengganu, Kelantan dan Perlis turut mendahului carta dalam aspek tangkapan dadah.

"Melihat kepada data-data ini, timbul satu persoalan besar.

Di manakah Islam dalam pentadbiran Pas?

Judi kononnya telah dihapuskan, namun dadah, keganasan domestik dan jenayah gagal dibendung.

"Hakikatnya, Pas gagal dan bak kata perwakilan Pas dalam muktamar sendiri, kepimpinan Pas gagal mengawal selia kualiti pemimpin.

Peningkatan kes jenayah dan penyakit sosial ini melambangkan kelemahan pemimpin Pas mentadbir SG4 dengan baik," katanya.