[VIDEO] 'Tak akan tandatangani MoU selagi kerajaan letak syarat'

Iklan

KLUANG - Pihak pembangkang bertegas tidak akan sewenang-wenangnya menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai peruntukan jika kerajaan masih mengekalkan syarat-syarat sama meskipun berlaku perundingan semula.

Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, mereka lebih rela meneruskan hidup sebagai ahli Parlimen yang bermaruah berbanding tunduk dengan syarat-syarat dikemukakan Kerajaan Perpaduan untuk mendapatkan peruntukan.

Iklan
Iklan

Dakwanya, sekiranya syarat-syarat berkenaan dipenuhi, peranan mereka untuk membawa isu-isu kepentingan rakyat akan tersekat.

Pembangkang sebelum ini memutuskan menolak Memorandum Persefahaman (MoU) daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN). (Gambat kecil: Ku Abd Rahman Ku Ismail)

"Kita (pembangkang) buat keputusan itu (tolak MoU) secara konsensus, kita bincang secara terperinci, kita kaji setiap syarat-syarat yang diberikan dan kita buat keputusan tak boleh terima sebab syarat itu beri banyak kekangan kepada ahli Parlimen.

Iklan

"Macam kita ini bukan ahli Parlimen, dengar kata sajalah.

Nak cakap pun tidak boleh, nak tentang, letak syarat 3R dan sebagainya...

Iklan

Kalau nak bagi, bagilah.

Janganlah syarat sampai macam tu, macam tidak menghormati ahli Parlimen sebagai seorang individu yang menang pilihan raya yang dipilih rakyat.

"Saya percaya ini bukan caranya. Jadi kita buat keputusan kita menolak.

Sama ada akan ada rundingan atau tidak, kita serah kepada pucuk pimpinan PN.

"Tapi saya yakin dan percaya kalau syarat tu tidak berubah, macam itu juga, kita pasti tidak boleh menerimalah.

Biarlah kita hidup sebagai ahli Parlimen yang bermaruah daripada kita menjual maruah kita sehingga tak boleh berucap membawa isu-isu yang libatkan kepentingan kepada rakyat yang kita wakili," katanya kepada pemberita di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dorset, Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini menyatakan kerajaan terbuka sekiranya MoU mengenai peruntukan pembangkang mahu dirunding semula.

Namun, Zahid berkata, ia tidak akan tersasar daripada syarat asal seperti ditetapkan dalam draf MoU dikemukakan kerajaan kepada PN sebelum ini.

Mengulas lanjut, Ku Abd Rahman berkata, setelah selama hampir tahun dua tahun menggalas amanah sebagai wakil rakyat tanpa dana kerajaan, mereka tidak akan sesekali menggadaikan prinsip yang diperjuangkan di tengah jalan.

"Jadi, biarlah kita tak ada peruntukan, tapi kita akan memperjuangkan nasib rakyat dalam segala aspek yang membebankan rakyat.

"Termasuk isu-isu yang memberi kesan buruk terhadap isu Melayu, isu Islam dan akan datang lagi isu-isu lain.

Kalau kita tandatangan saja, kita kena ikut sahajalah.

Jadi macam lembulah cucuk hidung, ikat, tarik saja...kita tak boleh dilakukan seperti itu," tegasnya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan kerajaan mengenai manifesto Pakatan Harapan (PH) sewaktu mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang sebelum ini menjanjikan peruntukan kawasan sama rata.

"Ini isu besar dia. Kalau dia tak kata, orang pun tak kata apa.

"Parti lain mereka tidak janji. Itu lain, mereka (BN atau PN) tidak pernah janji. BN tidak pernah janji. Ini (PH) janji. Janji ini kalau tidak tunai, hukum Islam pun berdosa," katanya.

Ditanya sama ada isu penolakan MoU tersebut akan menjejaskan sokongan pengundi kepada calon PN bagi PRK DUN Mahkota, beliau bagaimanapun menyifatkan ia tidak akan menjadi isu besar.

Katanya, ia dibuktikan dengan majoriti diperoleh PN pada pilihan raya negeri (PRN) lebih besar berbanding pilihan raya umum (PRU), pada saat pembangkang bergerak tanpa peruntukan kerajaan.

"Ertinya penyokong masih tak kisah sebab mereka sanggup berkorban dengan pemimpin sebab itu adalah maruah yang paling besar,"katanya.