[VIDEO] Bukit Aman beku 96 akaun GISBH bernilai RM581,000

Iklan

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) membekukan 96 akaun bank bernilai RM581,552.31 berhubung siasatan terhadap GISB Holding Sdn Bhd (GISBH).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua akaun bank berkenaan dibekukan untuk siasatan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) PDRM.

Iklan
Iklan

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

"Polis turut menutup empat akaun telah ditutup dan lapan kenderaan dikeluarkan perintah pembekuan,” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini pada Selasa.

Iklan
Razarudin Husain

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimi; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), Wan Noraidah Wan Mohd Zain dan Pengarah Bahagian Institut Pendidikan Guru Malaysia, Dr Mohd Azam Ahmad.

Tambah Razarudin, hala tuju Op Global setakat ini adalah menjurus kepada kesalahan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Iklan

"Selain itu, fokus siasatan juga menjurus di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 [792], Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] serta Kanun Keseksaan [Akta 574]," ujarnya.

Sebelum ini, Razarudin memaklumkan seramai 402 kanak-kanak berjaya diselamatkan hasil serbuan ke atas 20 rumah amal dikaitkan GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Dalam perkembangan terkini itu, beliau memaklumkan, 13 daripada kanak-kanak terbabit disyaki telah diliwat berdasarkan saringan perubatan yang dilakukan.