Ten Hag mahu United bolot semua piala

Iklan
Ten Hag (kiri) mahu United bolot semua piala musim ini. Foto AFP

PENGENDALI Manchester United, Erik ten Hag menegaskan Piala Liga bola sepak Inggeris kekal sebagai saingan penting untuk pasukan itu.

Ten Hag mengemudi United memenangi trofi tersebut pada musim pertamanya di Old Trafford sebelum menambah trofi Piala FA musim lalu, menewaskan Manchester City pada perlawanan akhir.

Iklan
Iklan

Ia sekali gus berjaya menyelamatkan kariernya di kelab itu berikutan kempen mengecewakan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila United menduduki tempat kelapan.

Banyak kelab terkemuka Inggeris menganggap Piala Liga sebagai satu masalah yang menghalang usaha mereka untuk memburu gelaran domestik dan Eropah yang lebih berprestij.

Iklan

"Piala FA, Piala Carabao (Liga), ia penting. Saya melihat semua perhatian daripada semua pasukan apabila mereka memenangi trofi tersebut seperti Liverpool tahun lepas, memenangi Piala Carabao.

"Saya melihat perlawanan akhir itu. Saya melihat semua pasukan berjuang untuk itu. Kami juga mahu perkara sama.

Iklan

"Jadi sangat penting dalam bola sepak untuk memenangi trofi. Anda mempunyai lima peluang, dan matlamat kami sentiasa untuk memenangi semua perlawanan, jadi menangi semua trofi jika boleh," katanya.

United kini berada di tangga ke-10 dalam carta EPL dengan enam mata daripada empat perlawanan.

Mereka bangkit daripada kekalahan berturut-turut di Brighton (2-1) dan di tempat sendiri kepada Liverpool (3-0) untuk menang 3-0 di Southampton pada Sabtu.