KOTA BHARU - Seorang jururawat di sebuah pusat berpantang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendedahkan seorang bayi lelaki berusia 30 hari dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan minggu lalu.
Tertuduh Nur Ain Natasha Mohd Sabri, 22, membuat pengakuan itu dan mohon untuk dibicarakan selepas jurubahasa membacakan pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, pada 9 September lalu, wanita berkenaan sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki bernama Choo Jyn Hern berusia 30 hari telah mendedahkan mangsa dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan.
Kesalahan itu dilakukan antara jam 4.47 hingga 5.30 pagi di sebuah pusat berpantang Kota Bharu di sini.
Nur Ain Natasha didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan manakala tertuduh diwakil peguam, Nur Alini Ahamad Kamil.
Terdahulu, Siti Edabayu tidak mencadangkan jaminan kerana kes tersebut melibatkan kesalahan serius selain memohon mahkamah mengambil kira kepentingan mangsa, keluarga dan orang awam.
Nur Alini dalam rayuannya memohon satu ikat jamin yang minimum kerana tertuduh sudah memberi kerjasama sepanjang siasatan kes dijalankan.
"Tertuduh yang masih bujang dan tinggal di rumah pusaka keluarganya sudah bekerja di pusat berpantang itu selama setahun dengan pendapatan RM9 sejam atau secara purata RM2,200 sebulan.
"Saya percaya tertuduh tidak akan melarikan diri dan memberi kerjasama untuk hadir ke mahkamah pada prosiding perbicaraan sekiranya jaminan dibenarkan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 13 Oktober depan untuk sebutan semula kes.
Sinar Harian pada 11 September lalu melaporkan seorang jururawat direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes pengabaian sehingga menyebabkan kematian seorang bayi lelaki berusia 30 hari.
Perintah tahanan reman bermula Rabu sehingga Selasa depan terhadap wanita berusia 22 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Rais Imran Hamid.
Ia bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.