Industri halal bersifat menyeluruh, mampu melengkapi ekonomi Islam - Anwar

Iklan
Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata industri halal yang bersifat menyeluruh mampu melengkapi ekonomi Islam terutamanya dalam aspek perdagangan.

Beliau berkata, industri halal akan meliputi setiap kumpulan masyarakat termasuk petani, nelayan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) malah kedai runcit yang memastikan penyertaan lebih luas.

Iklan
Iklan

"Dalam mencapai maksud Ekonomi Madani dan semangat Maqasid Syariah, ia mesti merangkumi hampir keseluruhan rakyat," kata beliau pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 di sini hari ini.

Dalam ucapan, Anwar turut menyatakan penghargaan kepada pemimpin luar, terutamanya dari negara-negara yang beliau lawati baru-baru ini atas sokongan padu mereka terhadap industri halal dan pengiktirafan mereka terhadap usaha Malaysia dalam mempromosikannya.

Iklan

Beliau berkata, mereka telah menunjukkan minat yang tinggi terhadap industri halal serta mengiktiraf peranan kerajaan dan pihak berkuasa Malaysia dalam memacu pertumbuhannya.

Mereka juga mahu menjalin kerjasama dengan Malaysia untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan, termasuk dalam sektor berkaitan halal, kata beliau.

Iklan

"Ini adalah pencapaian luar biasa yang dicapai oleh MATRADE dan kerajaan berikutan ia membolehkan kita mengkaji lebih lanjut mengenai kepentingan halal dan sebab Islam menekankan kepentingannya dalam pelbagai sektor, termasuk produk makanan, kosmetik dan industri lain yang berkaitan," kata beliau.

Pada majlis itu, Anwar menyampaikan Anugerah Khas Kecemerlangan Pembangunan Halal Negara kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai mengiktiraf sumbangan beliau dalam industri halal.

Anugerah itu diterima oleh anak beliau, Tan Sri Kamaluddin Abdullah.

Abdullah dipilih sebagai penerima pertama anugerah itu berikutan MIHAS yang pertama pada 2004 dan penubuhan Halal Development Corporation pada 2006 dalam tempoh beliau sebagai Perdana Menteri.

MIHAS 2024 merupakan anjuran bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Bertemakan 'Globalising Halal Innovations', pameran selama empat hari itu bermula hari ini dan berakhir pada 20 September. - Bernama