SHAH ALAM - Perjuangan Parti Amanah Negara (Amanah) bukan bersifat jangka pendek dan banyak perlu diusahakan untuk memperkukuh perjuangan parti itu.
Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim berkata, Amanah lahir di saat konflik politik dalam parti yang membawa wadah perjuangan Islam.
Menurutnya, tidak mudah menaikkan Amanah terutama di Selangor ketika Pas masih dalam pentadbiran kerajaan negeri ketika itu.
"Telah terbuku di lipatan sejarah dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin sanggup bersama Amanah ketika itu, pelbagai fitnah tohmahan serta cacian diberikan kepada Amanah.
"Sembilan tahun berlalu, Amanah Selangor terus melangkah maju. Kepimpinan semua peringkat, ahli-ahli komited dan aktivis parti yang setia dengan perjuangan ini menjadi formula Amanah Selangor terus maju," katanya menerusi kenyataan sempena ulangtahun ke-9 Amanah pada 16 September.
Izham yang juga Exco Infrastruktur kemudahan Awam dan Pertanian Negeri Selangor berkata, penambahan keahlian dan cawangan perlu dipertingkatkan agar lebih ramai rakyat di Selangor bersama dengan perjuangan Amanah.
"Modul kepimpinan dan ahli perlu terus diterapkan kepada semua lapisan kepimpinan agar landasan perjuangan tidak tergelincir.
"Seharusnya kesemua ahli tidak kira kepimpinan, aktivis atau ahli biasa memahami apa yang diperjuangkan parti," katanya.
Sempena sambutan ulangtahun ke-9 Amanah, beliau menyeru ahlinya menanam tekad menjadikan parti tersebut sebuah organisasi yang terus diingati rakyat dan terus memperjuangkan Islam.