MHO, dua lain perlu padam isu kait Mashitah kes pemerdagangan manusia

Iklan
Mashitah Ibrahim

SHAH ALAM - Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan dua jawatankuasanya diperintah memadamkan kenyataan didakwa berunsur fitnah mengaitkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mashitah Ibrahim dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Ia selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, membenarkan perintah injunksi interim oleh Mashitah, 60, terhadap MHO, Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim, 45, dan jawatankuasanya, Azirul Shafiq, 29, masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Iklan
Iklan

Peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Mashitah selaku plaintif berkata, perintah itu dikeluarkan Hakim, Jamhirah Ali sehingga keputusan injunksi muktamad dibuat.

"Ketiga-tiga defendan perlu memadamkan kenyataan tersebut dengan serta-merta dan tidak mengulangi perbuatan tersebut sehingga keputusan inter-parte diperoleh.

Iklan

"Mahkamah menetapkan pendengaran atau keputusan permohonan inter-parte pada 18 November depan," katanya selepas pengurusan kes berkenaan.

Dalam prosiding ini, peguam, Mohd Falaq Adnan hadir bagi semua defendan.

Iklan

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan beberapa penulis artikel dari negara jiran, Indonesia untuk membantu siasatan kes pemerdagangan manusia di Myanmar, yang didakwa membabitkan Mashitah dan suami.

Bagaimanapun, pada 7 September lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tiada bukti mengaitkan ahli politik itu bersama suami, terbabit dengan kegiatan berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan polis turut mendapati, tiada pelaburan dibuat beberapa individu termasuk Mashitah di luar negara yang didakwa mempunyai kaitan dengan sindiket terbabit.

Pada 3 September lalu, polis telah merakam keterangan seorang individu bergelar Datuk Seri bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitan seorang ahli politik di negara ini yang dikaitkan dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Terdahulu MHO menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pembabitan seorang ahli politik di negara ini bersama suaminya membabitkan satu kumpulan sindiket berkenaan.

Hishamuddin berkata, baru-baru ini tular satu video di media sosial pembongkaran sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar bertajuk 'Neraka Perbatasan: Jejak Mafia Judi Online dan Perbudakan Digital di Asia' yang diterbitkan di Indonesia.

Dalam kenyataan di Facebook, bekas pensyarah kanan itu menafikan terbabit dalam kegiatan jenayah.

Beliau kemudiannya membuat laporan berkaitan tuduhan berkenaan selain telah memberi keterangan di Bukit Aman.