Pengurusan GISBH tidak dibenar tinggalkan negara

Iklan
Razarudin (tengah) dalam sidang akhbar di Pulapol, Kuala Lumpur pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Polis telah mengeluarkan perintah larangan meninggalkan negara kepada pihak pengurusan GISB Holding Sdn Bhd (GISBH).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, arahan itu dikeluarkan sebaik kertas siasatan dibuka kali pertama.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selain itu, polis juga tidak menolak kemungkinan siasatan menjurus kepada jenayah terancang.

"Bagaimanapun, pada peringkat ini, kita masih menumpukan pada kertas siasatan yang dibuka pada fasa pertama dan kedua siasatan Op Global.

Iklan

"Siasatan awal mendapati terdapat struktur organisasi yang jelas dalam operasi rumah amal ini di mana rumah amal di bawah syarikat ini akan diuruskan oleh pengurus untuk menyelia beberapa rumah bagi setiap zon.

"Semakan kami mendapati, mereka yang mengendali kanak-kanak ini adalah 'abang' atau 'kakak' yang berusia antara 17 hingga 20 tahun,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini pada Selasa.

Iklan

Tambah Razarudin, kanak-kanak berkenaan juga akan dipindahkan dari satu rumah amal ke lokasi penempatan lain.

Katanya, ini dikesan berdasarkan temu bual terhadap mangsa.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, setakat ini, pengurusan tertinggi GISBH masih belum diambil keterangan dan tidak tolak kemungkinan akan memanggil mereka untuk direkod keterangan.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis akan membuat penyambungan reman terhadap kesemua suspek yang ditangkap.

"Reman seramai 155 suspek di Selangor akan tamat pada 18 September, manakala dua suspek di Nilai, Negeri Sembilan akan tamat pada 17 September. Permohonan untuk menyambung reman terhadap kesemua suspek akan dilakukan bagi melengkapkan siasatan.

"Dua suspek di Seremban, Negeri Sembilan pula telah disambung reman bermula pada 15 September hingga 21 September," ujarnya.

Pada 12 September lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun berjaya diselamatkan menerusi serbuan di 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan disyaki menjadi mangsa eksploitasi menerusi Op Global.