Reman tiga suspek bunuh bekas pelumba negara disambung enam hari lagi

Iklan
Tempoh reman tiga suspek dipercayai terlibat dalam kematian bekas pelumba negara dilanjutkan selama enam hari.

KANGAR - Tempoh reman ke atas tiga suspek yang dipercayai terlibat dalam kematian bekas pelumba negara, Elly Idzlianizar Elias, 40, dalam satu pergaduhan di simpang masuk Taman Behor Goncar Jaya di sini dilanjutkan oleh Mahkamah Majistret selama enam hari.

Majistret Ana Rozana Mohd Nor membenarkan tempoh lanjutan terbabit terhadap tiga suspek berusia antara 28 hingga 51 tahun.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, tempoh lanjutan itu bermula 18 hingga 23 September depan.

Sebelum ini, media melaporkan suspek direman selama seminggu bermula 11 September hingga 17 September dan kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

Polis membawa suspek kes tetak bekas pelumba negara ketika permohonan lanjutan reman di Mahkamah Majistret Kangar pada Selasa.

Iklan

Pada 12 September lepas, polis mengesahkan kematian bekas pelumba Moto 3 dan Cup Prix negara, Elly Idzlianizar disebabkan kecederaan parah akibat ditetak dan ditikam menggunakan pedang samurai selepas terbabit dengan pergaduhan di Kangar dalam kejadian jam 9 hingga 10 malam Selasa.

Dalam kejadian itu mangsa dipercayai pergi ke rumah seorang lelaki berusia 51 tahun di Taman Behor Gonchar Jaya, Jalan Dato Ali, Kangar dalam keadaan marah sebelum pergaduhan tercetus.

Iklan

Allhayarham Elly Idzlianizar cukup dikenali sebagai pelumba yang berbakat besar di mana beliau mula mencipta nama di arena perlumbaan tempatan Cub Prix.

Allahyarham juga berjaya menjulang beberapa kejuaraan bersama pelbagai pengeluar antaranya Yamaha, Honda dan Suzuki sehingga terpilih menyertai program pencarian pelumba 'wildcard' negara untuk beraksi di Grand Prix Malaysia pada tahun 2009.