Ada kewajaran UPSR, PT3 diadakan semula - Mahdzir Khalid

Iklan
Mahdzir

ALOR SETAR - Ada kewajaran bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dimansuhkan pada tahun 2022 untuk dikembalikan semula.

Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peperiksaan tersebut sebelum ini telah terbukti menjadi teras kepada aspek kemenjadian murid.

Iklan
Iklan

Beliau menyifatkan, kedua-dua peperiksaan UPSR dan PT3 itu ada nilainya yang tersendiri.

"Ia menjadi salah satu komponen penting dalam sistem pendidikan kita sejak sekian lama kita menggunapakainya.

Iklan

"Jadi saya melihat perkara itu ada kewajarannya untuk kita adakan semula peperiksaan itu kerana ia telah terbukti menjadi teras kepada aspek kemenjadian murid sepertimana yang kita mahukan untuk anak-anak generasi pewaris masa depan negara kita," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mahdzir mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-78 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, Selangor berkaitan cadangan supaya sistem peperiksaan bagi Tahun Enam di sekolah rendah dan Tingkatan Tiga di sekolah menengah dirombak.

Iklan

Beliau berpandangan, pemansuhan UPSR dan PT3 oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pada 2022 itu dibuat dalam situasi tergesa-gesa dan tanpa melakukan kajian mendalam.

Kata Mahdzir lagi, pemansuhan peperiksaan itu yang digantikan dengan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) juga telah memberi kesan kepada penilaian sebenar tahap pencapaian pelajar.

Sehubungan itu, menurutnya, saranan Ahmad Zahid itu perlu diambil secara positif oleh Kementerian Pendidikan Malaysia kerana kesan pemansuhan UPSR dan PT3 mula terlihat apabila isu keciciran kira-kira 10,177 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas, berpunca daripada masalah membaca, menulis dan mengira (3М).

Beliau melihat kaedah pentaksiran PBD dan PBS itu tidak menggambarkan tahap sebenar kemampuan pelajar berbanding menerusi penilaian berasaskan sistem peperiksaan.

"Kaedah pentaksiran tersebut juga saya fikir telah memberi beban tambahan kepada guru-guru kelas," katanya.

Mahdzir menambah, ada kedengaran suara-suara daripada ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan kaedah pelaksanaan PBD dan PBS yang telah menjejaskan peluang anak-anak mereka memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

"Saya juga melihat dari sudut tahap persaingan dan kesungguhan murid Tahun Enam di sekolah rendah dan pelajar di Tingkatan Tiga agak berkurangan apabila tidak ada peperiksaan khas seperti UPSR dan PT3 dahulu di mana murid dan pelajar berada dalam suasana persaingan dan kesungguhan yang cukup tinggi untuk mencapai kejayaan.

"Begitu juga di peringkat ibu bapa yang bersemangat untuk melihat anak-anak mereka berjaya menerusi peperiksaan tersebut dengan memberi lebih perhatian kepada pembelajaran anak-anak mereka yang bakal menduduki peperiksaan" kongsi beliau lagi.

Untuk rekod, UPSR mula diperkenalkan pada tahun 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul.

PT3 pula mula dilaksanakan pada tahun 2014 bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).