[VIDEO] Tiada keperluan untuk berbincang dengan GISBH - KPN

Iklan

KUALA LUMPUR - Tiada keperluan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan perbincangan dengan pihak GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) berhubung tindakan lanjut siasatan yang akan dilakukan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia merupakan prosedur pihaknya dalam mengumpul bukti supaya siasatan dapat dilengkapkan seterusnya dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.

Iklan
Iklan

"Adakah kalau kita (polis) menyiasat dan kita nak bincang, bagaimana pula dengan bukti kita?

"Kalau macam itu sebagai contoh rumah disamun dan kita kenal pasti penjenayah, adakah perlu saya bincang dengan penjenayah itu? Adakah itu tindakannya?" katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini pada Selasa.

Iklan
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika sidang media di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) pada Selasa. Foto Bernama

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali yang mendakwa tiada sebarang perbincangan diadakan bersama pihaknya sebelum tindakan Op Global oleh polis pada 11 September lalu.

Nasiruddin sebelum itu menerusi kenyataan video mengesahkan beberapa kes liwat pernah berlaku terhadap kanak-kanak di rumah amal berkenaan.

Iklan

Justeru, beliau mempersoalkan tindakan polis menyerbu dan menahan kesemua 392 penghuni dari 20 rumah amal kendalian syarikatnya menerusi serbuan Op Global pada 11 September lalu, tanpa mengadakan perbincangan terlebih dulu.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, siasatan dijalankan menjurus kepada Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Namun, beliau memberi keyakinan bahawa siasatan dijalankan secara telus dan adil kepada semua pihak termasuk suspek yang ditahan.

Beliau berkata, ia bagi memastikan siasatan adalah menyeluruh dari pelbagai sudut termasuk kesalahan mengikut Akta Pendidikan 1996 dan Akta Pusat Jagaan 1993.

"Sehingga 16 September, proses saringan kesihatan yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Pulapol Kuala Lumpur terhadap 392 mangsa yang terdiri daripada 202 kanak-kanak lelaki dan 190 kanak-kanak perempuan telah selesai," ujarnya.