KSN terjah JIM, JPN Kota Kinabalu, kesan empat masalah

Iklan
Shamsul Azri membuat lawatan mengejut ke JIM Kota Kinabalu dan bertemu dengan petugas jabatan tersebut sebelum bertolak balik ke Semenanjung.

KOTA KINABALU - 'Bah, KSN (Ketua Setiausaha Negara) ka tu? KSN sedang buat spotcheck (pemeriksaan mengejut) kah tu?'.

Itu antara baris ayat yang ditulis KSN, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di dalam laman Facebook rasmi mengenai lawatan mengejutnya ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini pada Selasa.

Iklan
Iklan

Dalam lawatan mengejutnya itu, beliau telah mengetengahkan empat isu utama yang dihadapi bagi kedua-dua jabatan tersebut.

Menurut beliau, sebelum bertolak balik ke Semenanjung beliau mahu melihat sendiri operasi harian bagi kedua-dua jabatan berkenaan dan bukannya untuk mencari kesalahan sesiapa.

Iklan

"Itu antara perbualan yang saya dengar ketika membuat lawatan mengejut di JIM dan JPN sebelum saya bertolak pulang ke Semenanjung sebentar tadi.

"Tinjauan mengejut ini bukanlah untuk mencari salah sesiapa tetapi saya mahu melihat sendiri operasi harian serta memantau kesiapsiagaan di kaunter dalam menyampaikan perkhidmatan," katanya.

Iklan

Shamsul Azri berkata, hasil lawatan yang dibuat terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian serius terutamanya yang melibatkan kepuasan pelanggan.

Shamsul Azri sempat bertanya kepada pengunjung yang datang ke JPN Kota Kinabalu.

"Isu sistem kaunter JIM tergendala terlalu lama yang mengakibatkan pengguna terpaksa menunggu.

"Saya telah mengarahkan KSU Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang turut bersama saya tadi untuk mengambil tindakan segera mengenai isu ini.

"Saya juga meminta KSU KDN untuk melihat semula struktur organisasi perjawatan dan mencadangkan penstrukturan semula perjawatan di JIM bagi memberi keutamaan kepada perkhidmatan yang lebih cekap.

"Memberi keutamaan kepada ibu mengandung, warga emas, OKU dan juga yang membawa anak kecil terutamanya bawah dua tahun bagi mempercepatkan proses pendaftaran. Perkara ini telah saya maklumkan kepada Pengarah JPN negeri Sabah," katanya.

Tambah beliau, sebelum bertolak balik ke Semenanjung beliau mendapati pengoperasian di JPN masih lagi tidak mengguna pakai sistem digital secara efisien.

"Saya juga sempat bertanya kepada pengunjung mengenai tempoh waktu menunggu serta kualiti perkhidmatan yang diterima di kedua-dua cawangan tersebut.

"Rata-rata mereka berpuas hati namun isu-isu seperti tempoh masa menunggu, sistem kerap tergendala serta tempat letak kereta yang terhad agak mengecewakan," katanya.

Shamsul Azri turut memberi peringatan tegas kepada semua penjawat awam supaya tidak terjebak ke dalam kancah rasuah dan sentiasa memberi perkhidmatan yang terbaik kepada orang awam.

"Saya menitipkan pesanan kepada semua petugas agar melakukan yang terbaik bagi memastikan kualiti dan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan awam.

"Saya juga memberikan peringatan agar semua petugas di pintu masuk ini agar jangan sekali-kali terjebak dalam kancah rasuah dan juga jenayah penyeludupan.

"Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana penjawat awam yang terlibat dengan isu integriti dan jenayah seperti ini," katanya.