Amaran hujan berterusan di empat negeri Utara Semenanjung

Iklan
MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di empat negeri Utara Semenanjung iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak berkuatkuasa sehingga 19 September ini. Gambar hiasan.

SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di empat negeri Utara Semenanjung iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak berkuatkuasa sehingga 19 September ini.

MetMalaysia berkata, berdasarkan analisis model cuaca, penumpuan angin yang berlaku di Utara Semenanjung dan Barat Sabah dijangka berterusan sehingga 21 September.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan itu berpotensi menghasilkan ribut petir beserta hujan lebat dalam tempoh yang lebih panjang di kawasan tersebut selain angin kencang dan laut bergelora di perairan Laut China Selatan serta Selat Melaka Utara.

"Sehubungan itu, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan (waspada) bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Iklan

"Kami juga telah mengemaskini amaran angin kencang dan laut bergelora bagi Laut China Selatan serta Selat Melaka Utara berkuat kuasa sehingga 21 September.

"Sementara itu, di negeri-negeri lain, cuaca ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang masih berpotensi berlaku sepanjang minggu ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Iklan

Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman sesawang www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia.

Selain itu, orang ramai boleh memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat yang terkini dan sahih.