'Titih Angin Sebangsal Baka' hidupkan kembali seni warisan bangsa

Iklan
Persembahan bangkit angin antara yang dipersembahkan pada Festival Titih Angin Sebangsal Baka.

MACHANG - Festival Titih Angin Sebangsal Baka anjuran Persatuan Cinta Seni Budaya (Persidaya)

menghidupkan semula tradisi rakyat Malaysia yang semakin dilupakan iaitu dikir laba, tappu meelam dan bangkit angin.

Pengarah program, Mohd Sulhie Yusoff berkata, ketiga-tiga seni itu perlu terus dipertahankan supaya tidak luput ditelan arus kemodenan hari ini.

Iklan
Iklan

"Sejujurnya saya yakin dan percaya ramai generasi muda hari ini mungkin sudah lupa kesenian dikir laba dan bangkit angin. Ia merupakan seni warisan bangsa yang masih lagi kukuh dimainkan cuma kurang diketengahkan.

"Jadi saya angkat semula seni ini kepada tatapan umum menerusi Festival Titih Angin Sebangsal Baka," katanya kepada pemberita.

Iklan

Menurut beliau, tarian Sabah-Sarawak, kertok kelapa, gendang Siam, menora, dondang sayang dan gendang Cina antara seni lain yang turut dipersembahkan.

Ujarnya, jo'oh mahmeri yang merupakan seni daripada masyarakat Orang Asli turut diketengah kepada tontonan umum.

Festival Titih Angin Sebangsal Baka anjuran Persatuan Cinta Seni Budaya menghidupkan semula tradisi rakyat Malaysia yang semakin dilupakan.

Iklan

Mohd Sulhie memberitahu, dikir barat yang merupakan seni kegemaran rakyat Malaysia turut dibawa sepanjang persembahan itu selain nyanyian lagu-lagu rakyat.

"Penganjuran yang mendapat sokongan penuh Kementerian Perpaduan Negara serta kerjasama dari Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kemuncup bertujuan mengukuhkan perpaduan antara kaum di Malaysia.

"Ia merupakan salah satu manifestasi tanda kecintaan terhadap seni warisan bangsa yang mampu menjadi rumpun perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai bangsa di negara ini," katanya.

Menurut Mohd Sulhie, beliau bercadang mengetengahkan lebih banyak seni unik yang semakin luput ditelan zaman.

"Sebagai penggiat seni, malang bagi saya jika warisan bangsa yang masih ada ini tidak dibajai dan dijaga dengan sebaik mungkin.

"Justeru semua pihak perlu berganding bahu bagi memastikan seni warisan bangsa itu kekal revelen mengikut rentak perubahan dunia hari ini," katanya.