RAWANG - Jaringan Rawang Tolak Insinerator (RTI) menuntut penjelasan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berhubung kelulusan penukaran status tanah di Lot 3847 bagi tujuan pembinaan insinerator.
RTI dalam satu kenyataan memaklumkan, kelulusan itu menunjukkan projek itu masih mahu diteruskan walaupun mendapat bantahan penduduk.
Menurutnya, keputusan itu dianggap tidak bertanggungjawab kerana mengabaikan nyawa dan kesejahteraan penduduk setempat.
"Isu insinerator di Batu Arang sudah berlarutan lebih setahun tanpa kepastian dan pembinaannya semakin dekat.
"Sayangnya, hanya segelintir penduduk berani bersuara. Kenapa ramai berdiam diri? Mungkinkah kerana belum merasakan kesannya?," menurut perkongsian di Facebooknya.
Katanya, RTI akan mengadakan Himpunan Tolak Insinerator di hadapan ibu pejabat MPS pada 1 Oktober depan bagi menuntut penjelasan pihak berkuasa tempatan itu.
"Keputusan kerajaan dikatakan muktamad, namun rakyat adalah tuan dan keselamatan kita tidak boleh diabaikan.
"Kita mesti bersatu menolak insinerator ini demi masa depan kita semua!," katanya.
RTI sebelum ini menuntut supaya Rawang tidak dijadikan hab sampah di Selangor susulan lokasi pembinaan insinerator didakwa berhampiran dengan kawasan perumahan penduduk.
Projek itu didakwa bakal menampung sisa pepejal dari enam pihak berkuasa tempatan (PBT) dan boleh menjejaskan kualiti kehidupan penduduk setempat.
Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata insinerator yang akan dibina itu menggunakan teknologi baharu bagi projek sisa jadi tenaga (WTE) di bawah kendalian KDEB Waste Management.