Tiada laporan Rumah Selangorku dibeli GISBH - Borhan

Iklan
Borhan menandatangani simbolik pada Majlis Perasmian Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) di Eco Grandeur Hall, Bandar Puncak Alam di sini pada Selasa.

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor tidak menerima sebarang laporan daripada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) berhubung ada unit Rumah Selangorku dibeli syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri, Datuk Borhan Aman Shah berkata, setakat ini tiada laporan diterima, namun sekiranya ada laporan pihaknya bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

"Dari segi catitan atau permohonan dalam LPHS, memang tidak ada (pembelian rumah Selangorku) oleh syarikat (GISBH), tetapi jika (dibeli) individu (kakitangan GISBH) saya tidak tahu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) di Eco Grandeur Hall, Bandar Puncak Alam di sini pada Selasa.

Iklan

Laporan Draf Rancangan Tempatan MPKS 2035 (penggantian) akan dipamerkan selama empat minggu bermula Isnin hingga Oktober 2024 secara dalam talian menerusi laman sesawang MPKS dan Plan Malaysia Selangor atau secara bersemuka di lokasi ditetapkan.

Bagaimanapun Borhan menjelaskan, pihaknya tidak dapat mengesahkan sekiranya rumah Selangorku dijual kepada tenaga pengajar GISBH.

Iklan

"Mungkin ada guru (GISBH) yang beli dan sebagainya, namun itu berada di luar kawalan kita," tambah beliau.

Ditanya mungkin kerajaan negeri boleh mengambil tindakan sekiranya perumahan itu disalah guna pihak tertentu, Borhan berkata, tindakan boleh dikenakan mengikut undang-undang sedia ada.

"Jika ada aduan, kita boleh ambil tindakan, contohnya tidak boleh menyewakan kepada warga asing, tidak boleh melakukan sebarang aktiviti komersial, menganggu gugat ketenteraman awam atau sebarang aktiviti menyalahi undang undang.

"Tindakan maksimum boleh diambil termasuk sitaan selain penguatkuasaan seperti memotong bekalan elektrik dan melihat dari sudut perundangan," tambah beliau.