Bekas Gabenor BNM, Tan Sri Ahmad Mohd Don meninggal dunia di usia 77 tahun

Iklan
Allahyarham Ahmad Mohd Don. Foto Facebook Anwar Ibrahim

JOHOR BAHRU - Bekas Gabenor Bank Negara kelima, Tan Sri Ahmad Mohd Don, 77, meninggal dunia di kediaman keluarganya di Jalan Tengah, Stulang Bahru di sini awal pagi tadi.

Isterinya, Puan Sri Hamidah Mohamed, 57, berkata, Ahmad menghembuskan nafas terakhir pada 1.55 pagi akibat kegagalan pelbagai organ.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Surau Darussalam di Kampung Stulang Bahru pada 9 pagi.

"Allahyarham pergi menghadap ilahi dengan mudah dan ahli keluarga ada bersamanya.

Iklan

"Proses pengurusan jenazah juga berjalan lancar dan Allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kampung Sungai Danga sekitar jam 11 pagi tadi,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Hamidah, yang menyifatkan Ahmad sebagai seorang suami penyayang, berkata Allahyarham sebelum ini turut mengalami pelbagai masalah kesihatan termasuk penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis serta pernah dimasukkan ke unit rawatan rapi kerana menghidap paru-paru berair pada tahun lepas.

Iklan

Ahmad, yang mempunyai tujuh anak, dilantik sebagai Gabenor Bank Negara dari Mei 1994 hingga Ogos 1998 menggantikan Tan Sri Jaffar Hussein.

Beliau berpengalaman luas dalam bidang kewangan dan perbankan serta pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Eksekutif Maybank dari 1991 hingga 1994 selain menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Alliance Bank Malaysia Bhd sejak 2017.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau terkesan dengan pemergian Ahmad yang meninggal dunia pada awal pagi tadi.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Perdana Menteri berkata, sebelum menjadi Gabenor Bank Negara, Ahmad adalah Ketua Pengarah Eksekutif Maybank dari 1991 hingga 1994.

"Mendoakan kekuatan buat keluarganya atas ujian yang getir ini dan semoga rohnya diberi keampunan oleh ALLAH SWT serta rohnya diberikan tempat yang terbaik oleh-Nya," kata beliau dalam hantaran itu. - Bernama